IPOH – Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki dan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 264.4 (arah utara) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Ipoh ke Terowong Menora menyebabkan aliran trafik sesak lebih lima kilometer hari ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di laman sosial X menggunakan akaun @plustrafik memaklumkan kemalangan pada 5.52 petang itu menyebabkan kesemua lorong menghala ke utara terhalang dan aliran trafik tidak bergerak.
PLUS turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan pengawal atau papan tanda trafik di lokasi, selain menggunakan laluan alternatif.
“Pastikan semua langkah berjaga-jaga diambil dan semoga selamat sampai ke destinasi,” menurut kenyataan itu.
Menurut PLUS, aliran trafik terhenti sepanjang 6.5 km akibat kerja-kerja pengalihan yang dijalankan setakat 7.20 malam.
Bagaimanapun, PLUS memaklumkan insiden berkenaan berjaya diselesaikan pada 7.35 malam dengan semua lorong telah dibuka manakala aliran trafik masih perlahan. – BERNAMA