KUALA LUMPUR – Isu gangguan seksual merupakan satu perkara yang dipandang serius oleh universiti dan akan memastikan pelaku kesalahan tersebut diambil tindakan pantas tanpa mengambil kira jawatan atau status.
Naib Canselor Universiti Malaya, (UM) Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman menegaskan, pihaknya untuk menjalankan siasatan dalaman dengan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman.
Bagaimanapun, usaha ini memerlukan bukti yang kukuh untuk dimulakan.
Oleh itu, UM menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, terutamanya mangsa, agar tampil ke hadapan bagi membantu menyelesaikan isu ini dengan segera.
Tambahnya, pada masa sama UM telah dimaklumkan bahawa kes melibatkan seorang profesor sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan universiti ini bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan.
“Sebagai sebuah institusi awam, UM tidak akan berkompromi dalam menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar, staf, serta seluruh komuniti kampus. Namun begitu, UM perlu mematuhi setiap lunas undang-undang dan peraturan apabila melaksanakan tindakan ke atas setiap aduan bagi memastikan ianya terlaksana dengan adil dan saksama. UM akan terus memastikan persekitaran universiti kekal selamat, adil, dan kondusif untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, komitmen itu termaktub dalam Kod Bebas Eksploitasi, Penganiayaan dan Gangguan Seksual yang boleh dimuat turun melalui Kod QR ebagai satu usaha sebar luas pemakaian kod tersebut.
Kod ini telah disemak dan ditambah baik yang mana eksesais telah melibatkan pelbagai pihak seperti wakil pelajar, wakil kesatuan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan anti gangguan seksual, wakil polis dan peguam bagi mendapatkan input yang menyeluruh.
UM juga menyediakan platform yang sama di laman web (https://umintegrity.um.edu.my) tersebut bagi membantu mangsa tampil melaporkan kejadian gangguan seksual supaya tindakan dapat diambil dengan sewajarnya.
UM juga mempunyai Polisi Pemberi Maklumat UM sebagai salah satu usaha menggalakkan sebarang laporan salah laku termasuk gangguan seksual.
Tambah beliau lagi, UM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Unit Integriti juga melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang menjurus ke arah kesedaran isu ini.
“Setiap tahun ketika pelajar baru mendaftarkan diri pada Minggu Haluansiswa (orientasi), UM mengambil kesempatan ini sebagai platform awal untuk memberi kesedaran berkenaan gangguan seksual kepada para pelajar tersebut. Dari semasa ke semasa, HEP dan Unit Integriti akan mengadakan sesi libat urus, ceramah serta kempen-kempen lain agar para pelajar mengetahui apa itu gangguan seksual serta jabatan berkaitan yang boleh dihubungi sekiranya menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Komitmen ini ditonjolkan lagi apabila UM telah mendengar pandangan pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai UM Feminism Club yang telah mengemukakan tinjauan dan mendakwa satu daripada lima pelajar pernah mengalami gangguan seksual.
Semakan yang dijalankan bersama pakar dalam bidang pengajian gender daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial berkaitan penemuan ini mendapati beberapa kelemahan wujud dalam aspek metodologi dan pensampelan yang memerlukan penelitian lanjut.
Pihak universiti menegaska, adalah penting untuk menilai kesahihan dan kredibiliti tinjauan ini bagi memastikan dapatan yang diperoleh tersebut adalah berasaskan fakta yang kukuh dan prinsip ketepatan.
Sesi penyerahan maklum balas bersama UM Feminism Club juga telah dibuat bersama kumpulan berkenaan pada 24 Mei 2024 bagi mendapatkan data serta bukti lain, namun sehingga kini bahan-bahan tersebut masih belum diterima oleh pihak universiti.
Naib Canselor turut menegaskan, dakwaan ini merupakan perkara serius dan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ia tidak berasaskan kajian yang menyeluruh serta data yang sahih.
“Saya memandang serius tuduhan dari alumni pengajian gender mendakwa seorang daripada setiap lima individu di UM mengalami gangguan seksual. UM perlu mengambil langkah tegas termasuk tindakan undang-undang, sekiranya dakwaan tersebut didapati tidak berasaskan data dan fakta yang tepat,” katanya. – MalaysiaGazette