KUALA LUMPUR – 1MDB Malaysia Berhad (1MDB) memfailkan saman terhadap penyedia perkhidmatan korporat Amicorp Group dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toine Knipping lebih AS$1 bilion kerana memudahkan lebih daripada AS$7 bilion dalam transaksi penipuan dalam tempoh lima tahun.
Tuntutan itu difailkan di British Virgin Islands (BVI) terhadap lapan entiti Amicorp pada 20 Disember lalu.
Dalam tuntutan itu, 1MDB mendakwa Amicorp memainkan peranan penting dalam memudahkan pengubahan wang haram lebih AS$7 bilion dana 1MDB yang diseleweng antara 2009 dan 2014.
Amicorp didakwa melakukan penipuan perdagangan, bantuan tidak jujur dalam pelanggaran kewajipan fidusiari, dan konspirasi untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Tindakan undang-undangnya yang difailkan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan semula aset yang dicuri, kata 1MDB.
“Kami membawa tindakan ini untuk mencari keadilan bagi peranan yang kami dakwa Amicorp mainkan dalam memudahkan pengubahan dan pelesapan berbilion dolar dalam dana yang dicuri.
“Pada pandangan kami, terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Amicorp di peringkat tertinggi mengetahui mereka terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan menyalahi undang-undang untuk memindahkan sejumlah besar wang tunai daripada benefisiari yang dimaksudkan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Selanjutnya 1MDB mendakwa, Amicorp menubuhkan dan menguruskan rangkaian syarikat shell, transaksi palsu dan struktur kewangan penipuan yang menyamarkan pergerakan dana yang dicuri.
Dana itu kemudian didakwa disalurkan melalui rangkaian global yang merangkumi bidang kuasa seperti Singapura, Barbados, Curaçao, Hong Kong dan BVI.
Amicorp turut dituduh menggunakan entiti dana dan perkhidmatan perbankan untuk berulang kali mengitar aset melalui anak-anak syarikat 1MDB hingga mewujudkan ilusi bahawa aset yang dicuri adalah pelaburan sah dan yang menjana pulangan.
Sedangkan, dana 1MDB telah disalahgunakan.
Minggu lalu, mahkamah Malaysia meluluskan permohonan kerajaan untuk menghalang PetroSaudi International dan Ketua Eksekutifnya daripada mengakses AS$340 juta milik 1MDB.
Keputusan Malaysia itu dibuat selepas Tarek Obaid, Ketua Eksekutif syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Switzerland-Arab Saudi, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada Ogos lalu di Switzerland kerana penyelewengan AS$1.8 bilion daripada 1MDB. – MalaysiaGazette