BATU MAUNG – “Kami terpaksa makan ikan temenung, cencaru mentah serta dua teguk air laut bermula hari keempat untuk meneruskan kehidupan sehingga diselamatkan nelayan di perairan Acheh, Indonesia”.
Demikian luah Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25, nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot mereka hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau pada Selasa lalu sebelum ditemui selamat di perairan Aceh, Indonesia, semalam.
Menceritakan pengalaman sepanjang enam hari di laut, Muhammad Ikmal Hakimi berkata, mereka telah putus harapan dan apabila diselamatkan nelayan asing itu ibarat hidup semula.
“Hari pertama masing-masing masih ada bekalan makanan yang dibawa dari rumah kerana selalu kami berada di laut bagi aktiviti memukat ikan mengambil masa empat jam.
“Hari kedua dan ketiga kami puasa dengan harapan ada pihak akan datang selamatkan kerana sudah maklum kepada majikan serta keluarga berhubung insiden yang menimpa (bot hanyut).
“Bagaimanapun, memasuki hari keempat masing-masing kami terpaksa makan ikan cencaru dan temenung mentah demi kelangsungan hidup meskipun masing-masing muntah ketika makan ikan mentah itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Limbongan Batu Maung di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Ikmal Hakimi dan rakannya Nor Hasrul tiba di jeti tersebut selepas dibawa pulang menaiki kapal KM Burau milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari perairan Acheh.
Turut berkongsi pengalaman sama, Nor Hasrul berkata, sepanjang bergelar nelayan hampir dua tahun ini merupakan kali pertama dia hanyut hingga memerlukan pertolongan pihak berkuasa untuk membawanya pulang.
“Memang sudah biasa dibadai ribut dan air laut bergelora tapi kali ini memang pengalaman yang berbeza dan agak mengerikan.
“Berlaku sedikit perbalahan antara kami pada awalnya namun apabila memasuki hari ketiga masing-masing putus harapan sebelum Muhammad Ikmal azan, baru kami nampak kapal-kapal kargo berhampiran.
“Masa lihat kapal itu masih ingat Penang Port tapi hanya sedar ia perairan Indonesia apabila diselamatkan nelayan sana,” katanya.
Tambah Nor Hasrul, meskipun berdepan situasi begini namun dia masih berminat untuk meneruskan pekerjaan sebagai nelayan.
Sementara itu, keluarga kedua-dua mangsa meluahkan rasa syukur dan gembira apabila anak mereka kembali ke pangkuan dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah, syukur doa kami dimakbulkan Allah SWT.. terima kasih kepada semua pihak yang berusaha melakukan pencarian sehingga anak saya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya Ismail Ibrahim, bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi.
Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan dua lelaki berkenaan selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang dekat sini, kira-kira jam 11.30 malam Selasa lepas.
Bagaimanapun, Operasi SAR yang masuk hari kelima pada Sabtu dihentikan selepas tidak menemui sebarang petunjuk.
Bagaimanapun semalam, kedua- duanya mereka diselamatkan nelayan Acheh di perairan Indonesia. – MalaysiaGazette