GEORGE TOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah mengeluarkan sebanyak 314 notis arahan terhadap premis industri di negeri ini sejak Januari lalu sehingga kini dalam usaha menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

JAS Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan rutin ke atas 1,307 premis yang berisiko berlaku pencemaran termasuk industri plastik, kimia, logam, getah, kertas, makanan, tekstil, percetakan, elektrik dan elektronik.

“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah perundangan yang merangkumi 314 notis arahan dan 267 kertas siasatan (kompaun).

“Selain itu, 14 penahanan operasi kelengkapan dan dua kertas siasatan dibuka untuk tindakan mahkamah,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut JAS Pulau Pinang berkata, sebanyak 12 Operasi Gempur telah dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi untuk memastikan pematuhan perundangan alam sekitar.

“Ops Gempur dilakukan melibatkan pemeriksaan terhadap 250 premis industri dan loji kumbahan di seluruh negeri ini turut menyasarkan premis-premis yang sering menerima aduan serta belum pernah diperiksa sebelum ini.

“Tindakan tegas ini menunjukkan komitmen JAS Pulau Pinang dalam menjaga kualiti alam sekitar dan memastikan setiap pihak mematuhi undang-undang demi kesejahteraan bersama.

“Sehubungan itu, kita meminta orang ramai untuk terus menyuarakan sebarang maklumat atau aduan mengenai jenayah alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-aduan JAS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here