JOHOR BAHRU – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang mengesan seorang anggota Kem Tentera Iskandar, Mersing yang hilang sejak 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Dodit Bil Wilman, 25, berketurunan etnik Rungus dari Sabah, sepatutnya melapor diri pada 16 Disember lalu.
“Kali terakhir dia dilihat meninggalkan rumah keluarga di Program Perumahan Rakyat (PPR) Cahaya Senibong, Masai, pukul 7.30 petang pada 8 Disember lalu.
“Laporan polis kemudian dibuat kakak ipar mangsa di Balai Polis Permas Jaya pukul 12.38 tengah hari, pada 17 Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Katanya, kakak ipar anggota tentera terbabit memaklumkan sepatutnya Dodit melapor diri pada 16 Disember lalu tetapi pihak kem berkenaan memberitahu mangsa tidak melaporkan diri.
Menurutnya, kenderaan terakhir digunakan mangsa adalah kereta jenis Perodua Viva.
Raub berkata, cubaan ahli keluarga menghubungi Dodit melalui telefon bimbitnya juga tidak berjaya.
“Hebahan telah dibuat di semua balai polis berhampiran untuk membantu usaha mengesan mangsa.
“Semakan melalui Integrated Police Reporting System (IPRS) mendapati tiada laporan tangkapan atau kemalangan yang melibatkan mangsa,” ujarnya.
Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Johor Bahru Selatan sedang menjalankan siasatan dan tindakan lanjut untuk mengesan keberadaan mangsa, katanya.
Polis Johor tambahnya, menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa untuk tampil memberikan maklumat.
Sebarang maklumat katanya, boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323.- MalaysiaGazette