KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bertekad untuk terus bersuara bagi mempertahan negara daripada sebarang ancaman dalaman dan luaran demi menjaga kesucian Perlembagaan.
Bekas pegawai tertinggi pasukan polis itu berkata, beliau akan terus meluahkan pandangan atas kapasitinya sebagai bekas Ketua Polis Negara terhadap isu-isu yang berunsur kepentingan nasional.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan saya dan saya akan terus bercakap atas kapasiti sebagai mantan Ketua Polis Negara untuk mempertahan negara,” ujar beliau hari ini.
Musa menyatakan demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi firma guaman, Tetuan Azam Aziz & Co yang mewakilinya dalam kes saman oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini.
Musa memberi reaksi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak saman tersebut dan memerintahkan Hannah membayar kos RM40,000.
Menurut kenyataan itu, mahkamah mengambil kira kenyataan Musa (defendan) dibuat dalam konteks forum awam yang membincangkan isu keselamatan negara.
Musa dalam keterangannya di mahkamah berkata, beliau selaku bekas Ketua Polis Negara mempunyai tanggungjawab untuk menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan negara.
Kenyataan tersebut juga dibuat berdasarkan analisis akademik termasuk tulisan seorang pensyarah serta tiada bukti kenyataan tersebut dibuat dengan niat jahat atau tidak wajar.
Musa ketika memberi keterangan pada perbicaraan itu berkata, gerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku tulisan Hannah, video dan pendedahan beberapa pakar akademik.
Katanya, rujukan lain turut dilakukan terhadap beberapa video yang dimuatnaik di laman media sosial berkaitan gerakan Evangelisme selain laporan polis yang dibuat beberapa individu.
Ujar bekas Ketua Polis Negara, beliau bertanggungjawab menasihatkan orang awam terhadap bahaya gerakan-gerakan tersebut selain berkongsi kebimbangan jika tidak dibendung, ia boleh mengancam keselamatan negara. – MalaysiaGazette
Saman terhadap Musa Hassan ditolak, Hannah Yeoh diperintah bayar kos RM40,000