GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyiasat kenaikan harga kelapa yang mendadak di pasaran.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan pihaknya di pasar di negeri ini mendapati harga kelapa naik secara berperingkat daripada RM2 kepada RM2.50, dengan kelapa bersaiz besar yang mencecah RM3.30 setiap satu.
Jelasnya, harga kelapa parut pula dinaikkan daripada RM8 kepada RM11 bagi setiap kilogram.
“Hasil temu bual dengan peniaga, mereka mendakwa kenaikan itu disebabkan bekalan dari negara lain terhenti.
“Peniaga runcit dan pasar awam juga mendakwa mereka menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan sejak dua minggu lepas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Mohideen, pihaknya bimbang sekiranya situasi ini berlarutan ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan lebih banyak pada masa akan datang, sekali gus menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk mendapatkan kelapa serta santan.
“Sehubungan itu, kita gesa FAMA dan KPDN untuk menjalankan siasatan segera berhubung isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan agar satu tindakan dapat diambil daripada membiarkan pengguna terbeban,” katanya. – MalaysiaGazette