LONDON – Bos Manchester United, Ruben Amorim mengakui bahawa semua pihak di kelab itu sedang meratapi penderitaan gara-gara kekalahan demi kekalahan selepas tewas 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford, semalam.
Kata pengendali kelahiran Portugal itu, ketika ini, kelab itu berada dalam keadaan sukar kerana kalah di tempat sendiri berikutan kesukaran untuk diterima semua orang.
“Peminat benar-benar kecewa dan letih. Anda boleh merasakannya di stadium pada separuh masa pertama. Saya faham situasi itu, tetapi kita perlu menghadapinya. Saya rasa sejak minit pertama, terdapat banyak rasa gemuruh.
“Kami bernafsu untuk menjaringkan gol tetapi kami terlalu gementar. Selepas gol ketiga, semua orang diselubungi kekecewaan di stadium termasuk penyokong mahu pun pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.
The Red Devils dalam misi mencari kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana selepas kemenangan 2-1 ke atas kelab jiran, Man City pada minggu lalu namun dimalukan di Old Trafford.
Lantaran itu para penyokong di stadium mencemuh dan mengejek dek kerana kekalahan tersebut merupakan yang keempat daripada enam perlawanan yang mana mengakibatkan United kekal terperosok di tangga pertengahan liga menjelang perayaan Krismas buat pertama kali sejak 1989.
Amorim juga mengakui pasukan United berada dalam keadaan tertekan ketika menentang The Cherries dan sudah pun membayangkan situasi buruk akan berlaku. – MalaysiaGazette