KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menyifatkan institusi perubatan awam di negara ini menghadapi gelombang besar dan parah ekoran perletakan jawatan lebih 6,000 doktor sepanjang lima tahun lalu.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa situasi ini berlaku bukan sahaja kerana tekanan dan beban kerja berlebihan, tetapi juga disebabkan kekurangan kemudahan asas yang lengkap, termasuk sistem komputer yang efisien.
“Walaupun untuk menjejak laporan ujian darah yang mudah, doktor tidak dapat mengaksesnya melalui sistem komputer, sebaliknya, ia perlu dilakukan secara manual dengan menyemak dokumen fizikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, banyak negara sudah maju ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI), tetapi doktor di hospital kerajaan masih tidak mempunyai sistem komputer asas dan terpaksa mencatat laporan perubatan secara manual.
Sebagai contoh, Hospital Selayang, yang pada awalnya dikatakan akan menjadi hospital moden tanpa kertas namun menurut maklumat yang diperolehnya, hospital tersebut tidak mempunyai sistem komputer asas untuk ujian darah.
Pesakit atau ahli keluarga perlu membawa sampel darah dan borang ke makmal secara manual, menunggu laporan siap, dan kemudian membawanya kembali kepada doktor, dakwa beliau.
Malah, keadaan ini juga berlaku di banyak hospital besar lain.
“Saya tidak faham mengapa kerajaan tidak membangunkan sistem komputer yang boleh merekodkan semua maklumat pesakit supaya doktor hanya perlu menekan beberapa kekunci untuk memahami keadaan pesakit,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dominic Lau menjelaskan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah sistem perubatan awam pada tahun 2018, namun masalah itu masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Pada Disember 2023, apabila beliau kembali ke jawatan Menteri Kesihatan dengan menyatakan ada ‘tugas yang belum selesai,’ situasi ini masih tidak menunjukkan perkembangan yang positif.
“Menteri sering menyebut masalah yang dihadapi oleh sistem perubatan awam tetapi tidak menyelesaikannya, menyebabkan jumlah pegawai perubatan yang meninggalkan perkhidmatan awam semakin meningkat. Pengaliran keluar tenaga kerja ini telah melemahkan sistem penjagaan kesihatan negara secara serius” tambah beliau.
Dominic turut mempersoalkan mengapa kerja-kerja yang boleh dilakukan oleh sistem komputer tetapi masih memerlukan tenaga manusia.
Katanya, kerajaan bercakap tentang menggalakkan ekonomi digital, tetapi hospital sendiri menghadapi masalah dengan sistem komputer asas. – MalaysiaGazette