KUALA LUMPUR – Keputusan Indeks Sentimen PKS  bagi separuh kedua tahun 2024 (2H 2024) menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Indeks ini meningkat kepada 55.8 (berbanding 54.7 pada 1H 2024), mencatatkan peningkatan ketiga berturut-turut dan skor
tertinggi sejak kajian ini dimulakan, kata Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank)

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, trend peningkatan ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, jangkaan jualan yang kukuh, serta perancangan yang diperbaharui untuk pengembangan dan penciptaan peluang pekerjaan.

Ini mengukuhkan lagi peranan kritikal PMKS dalam trajektori ekonomi Malaysia, yang juga selari dengan fokus Kerajaan Madani terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif, khususnya dalam mewujudkan prospek positif untuk PMKS terus maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dan kompetitif.

Kajian yang mengumpulkan data mengenai pandangan dan pengalaman PMKS ini dijalankan antara Ogos hingga November 2024 ini melibatkan 1,485 responden (1H: 1,295), dari semua negeri di Malaysia, yang mewakili pelbagai sektor dan saiz perniagaan.

Dalam kajian ini, sebahagian besar responden dari semua saiz perniagaan menjangkakan pengembangan ekonomi, dengan diterajui oleh perniagaan berskala besar, melibatkan 63% responden.

Manakala perniagaan mikro adalah paling kurang optimistik (50%), ini adalah perubahan lengkap berbanding keputusan 1H yang mana perniagaan berskala besar merupakan yang paling pesimis, menjangkakan kelembapan ekonomi berbanding perniagaan mikro yang meramalkan pengembangan ekonomi.

Selain itu, perniagaan besar mungkin mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan perdagangan antarabangsa, denan jumlah perdagangan barangan dijangka berkembang sebanyak 3.0% tahun ke tahun pada 2025 berbanding 2.7% pada 2024.

Perniagaan mikro kini mempunyai pendedahan eksport paling rendah (5%) tetapi menunjukkan minat tertinggi (20%) untuk menjual produk mereka ke luar negara pada masa hadapan.

“Kajian Indeks Sentimen PKS ini mengukuhkan komitmen kami dalam menyediakan gambaran yang jelas dan ringkas mengenai landskap PMKS secara keseluruhan.

“Momentum positif yang direkodkan dalam kajian ini sekali lagi menekankan kedudukan PMKS sebagai segmen penting dalam ekonomi kita, yang menyumbang secara signifikan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia,” tambah Mohammad Hardee.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing berkata, Ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.2% dalam sembilan bulan pertama tahun 2024, dan sentimen ini selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih baik bagi tahun 2025.

SME Bank menjangkakan ekonomi berkembang antara 4.5% hingga 5.5%.

“Walaupun optimisme semakin meningkat, PMKS terus berdepan cabaran seperti tekanan kos yang lebih tinggi dan lebih terdedah kepada turun naik kadar pertukaran akibat peningkatan aktiviti import dan eksport, yang berpotensi memberi kesan kepada margin keuntungan jika tidak diurus dengan efektif,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here