Dr. Mohd Ekhwan Toriman

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) menggesa supaya semua pihak tidak membuat spekulasi isu ganggung seksual di universiti awam.

Pengerusi JKNCR UA Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, pihak terbabit sewajarnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“Pada masa yang sama, kita juga menggesa semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengucar-ngacirkan keadaan.

“Sebaliknya semua pihak yang terlibat disarankan untuk menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa tanpa membuat spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, JKNCR UA menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk gangguan seksual dalam kalangan warga institusi pengajian awam di Malaysia.

Artikel berkaitan: Kes cabul tak sepatutnya berlaku di UM – Ziyad

Gangguan seksual bukan isu main-main, Neo-Siswa mahu UM lebih proaktif

Tiada kompromi buat pelaku gangguan seksual – Naib Canselor UM

Gangguan seksual: Zambry arah UM laksana siasatan segera

Universiti awam sebagai wahana ilmu negara seharusnya menjadi institusi paling selamat serta bebas gangguan seksual apabila diurus dengan adunan nilai keagamaan, adab serta kesarjanaan yang seimbang.

Sebarang tindakan yang diambil oleh universiti awam berkenaan dengan aduan gangguan seksual perlu dijalankan mengikut prosedur dan peraturan sedia ada selari dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].

Tambah beliau, Unit Integriti di semua universiti awam juga menjadi saluran utama dalam pelaporan kes-kes gangguan seksual.

Unit tersebut akan menyiasat aduan yang diterima tanpa sebarang intervensi, sekali gus memberikan keadilan dan melindungi hak semua pihak.

“Justeru, seluruh warga universiti awam Malaysia diingatkan agar tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar mana-mana kod amalan dan tatacara universiti serta undang-undang negara.

“Semua warga juga diingatkan agar menjalankan tanggungjawab dengan berhemah dan beretika,” tegasnya.

Ketika ini Universiti Malaya menjadi perhatian seluruh negara selepas seorang pensyarah universiti tersebut didakwa menghantar gambar lucah kepada beberapa pelajarnya.

Kelab Feminisme UM menuntut universiti itu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli akademik terbabit.

Tiga tuntutan dikemukakan dalam memorandum yang dihantar, antaranya mendesak tugas pensyarah berkenaan digantung, siasatan kes secara adil dan tegas, serta memperbaiki kelemahan polisi anti gangguan seksual sedia ada.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here