Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar memeriksa harga barang pada lawatan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP) Krismas di Village Grocer, Bangsar. Foto SADIQ SANI, 23 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mengumumkan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 membabitkan 14 barang selama lima hari bermula hari ini komited memastikan peniaga mematuhi harga ditetapkan.

Susulan daripada pengumuman itu, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Mohd Sayuthi Bakar hadir ke Village Grocer, Bangsar Baharu di sini hari ini untuk melakukan pemantauan pematuhan harga SHMMP tersebut.

Selepas hampir sejam meneliti harga barangan dipamerkan di pasar raya itu, Mohd Sayuthi berpuas hati dengan pematuhan yang telah memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada pembeli dan penjual.

Jelasnya, pelaksanaan SHMMP Krismas 2024 adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa tanpa memberi beban kepada semua pihak.

“Kita pengurusan tertinggi KPDN melakukan pemantauan hari pertama SHMP Krismas 2024 bagi memastikan pematuhan harga barangan yang dikawal oleh para peniaga yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 27 Disember 2024 iaitu selama lima hari.

“Selain itu, melalui pemantauan ini, saya berpeluang mendapatkan sendiri maklumat terkini mengenai situasi bekalan dan harga barangan yang sedang dikawal dalam skim ini terutamanya ketika musim perayaan seluruh negara,” katanya selepas sesi pemantauan dan penguatkuasaan hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar memeriksa harga barang pada lawatan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP) Krismas di Village Grocer, Bangsar. Foto SADIQ SANI, 23 DISEMBER 2024

Pihaknya berharap agar semua peniaga dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP dengan mematuhi harga ditetapkan serta menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti termasuklah hukuman denda kompaun antara RM50,000 hingga RM100,000,” ujarnya.

Antara kesalahan-kesalahan itu termasuk menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang boleh menyebabkan seorang individu didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, seorang individu berdepan denda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Dalam pada itu, Mohd Sahyuthi juga meminta pengguna sentiasa berhemah ketika berbelanja sepanjang musim perayaan ini.

Sebelum ini, menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan barangan dalam senarai SHMMP meliputi ayam tua hidup (di Sarawak sahaja); kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing); lobak merah; tomato; cili merah; lada benggala hijau; bawang merah besar import; bawang kuning besar; ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).

Katanya, penguatkuasaan kawalan harga maksimum bagi kepak ayam; daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) memfokuskan kepada bekalan di Sabah, Sarawak serta Labuan sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here