KUALA LUMPUR – Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui bidang keusahawanan dan inovasi.
Presiden Kebangsaan MPPM, Prof. Madya Dr. Zam@Ab Razak Zamri, penganugerahan pakar industri itu adalah sebagai satu platform bagi para usahawan dan golongan profesional yang berkelayakan untuk diberi pengiktirafan di dalam bidang masing-masing.
Katanya, pengiktirafan ini bukan sahaja menghargai usaha dan dedikasi mereka tetapi juga memberi motivasi kepada masyarakat usahawan lain untuk terus berinovasi dan mencipta impak positif dalam ekonomi negara.
“Setiap penerima Anugerah Pengiktirafan Pakar Industri MPPM telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Jawatankuasa Penilaian MPPM yang terdiri daripada golongan akademik dan industri.
“Penerima anugerah ini mesti mempunyai pengalaman lebih daripada lima tahun dalam industri masing-masing, menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi impak yang signifikan dalam sektor mereka.
“Anugerah tahun ini turut menyaksikan penyertaan penerima daripada pelbagai latar belakang kaum di Malaysia, tanpa mengira Melayu, Cina, India, dan lain-lain, mencerminkan kepelbagaian dan semangat inklusif dalam keusahawanan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Majlis Penganugerah itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan.
Pengiktirafan yang julung-julung kalinya di peringkat kebangsaan adalah Anugerah Felo Kehormat diberikan kepada Ahmad di atas jasa serta sumbangan bakti beliau yang besar dan signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi, politik, pembangunan perniagaan dan keusahawanan, kemasyarakatan serta prinsip mesra rakyat pelbagai kaum sama ada di peringkat negeri mahu pun di peringkat kebangsaan.
Pencalonan ini juga diiktiraf serta diperakui oleh keseluruhan Ahli Majlis MPPM di atas kepimpinan beliau yang sangat cemerlang serta dedikasi yang berterusan sehingga ke peringkat kementerian.
Sementara itu, Ahmad berkata, turut menekankan pentingnya prinsip Malaysia Madani yang berfokuskan kepada keusahawanan beretika, inklusif dan inovatif dalam membangunkan negara.
Beliau menyeru semua penerima anugerah untuk terus menjadi inspirasi kepada generasi usahawan muda dan menunjukkan bahawa dengan dedikasi dan semangat yang tidak pernah luntur, setiap cabaran dapat dijadikan peluang. – MalaysiaGazette