Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dibuka untuk penyertaan kepada pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada pemasangan sistem solar fotovolta (PV).

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu antara lain untuk menyokong inisiatif dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Langkah berkenaan selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon.

“Untuk menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV di bumbung premis bangunan, PETRA telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program NEM.

“Penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar PV,” demikian menurut kenyataan itu.

Penambahbaikan lain termasuk pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia serta beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan baharu.

Menurut PETRA lagi, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150 megawatt (MW) kepada 600MW supaya lebih ramai pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.

Selain itu kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1,700MW.

Ia bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pengguna kategori pertanian.

“Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu,” ujarnya.

Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.

Penambahbaikan bagi pelaksanaan Program NEM dan pelanjutan skim SolaRIS akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Garis panduan terkini bagi Program NEM Rakyat dan NEM NOVA boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.

Maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM pula boleh didapati di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia di www.seda.gov.my.

Sementara itu, perincian mengenai program SolaRIS boleh didapati di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad di www.tnb.com.my.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here