KUANTAN – Tiada sebarang kes pelanggaran oleh peniaga direkodkan semasa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi semua perayaan sepanjang tahun ini di Pahang.
Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berharap tindakan peniaga mematuhi skim harga kawalan itu dapat diteruskan menjelang Krismas ini.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang akan memantau rapi sempena SHMMP Krismas berkuat kuasa hari ini hingga 27 Disember 2024.
”Sepanjang tahun 2024, penguat kuasa KPDN Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 67,129 premis perniagaan di setiap rantaian seluruh negeri ini melibatkan kawasan bandar dan luar bandar.
”Daripada jumlah ini, sebanyak 601 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1,447,954.36 dan kompaun sebanyak RM283,050.
”Tetapi setakat ini sifar kes berkaitan melanggar harga kawalan semasa perayaan (SHMMP) di Pahang” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau sempat meninjau pelaksaanan harga bagi sembilan barangan kawalan daripada 14 item yang ditetapkan di TMG Indera Mahkota 16 di sini hari ini.
Sebanyak 14 barang berkenaan meliputi ayam tua hidup (di Sarawak sahaja); kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing); lobak merah; tomato; cili merah; lada benggala hijau; bawang merah besar import; bawang kuning besar; ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
Manakala penguatkuasaan kawalan harga maksimum bagi kepak ayam, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) memfokuskan kepada bekalan di Sabah, Sarawak serta Labuan sahaja.
Susulan itu Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum itu berharap dengan pemantauan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa boleh membantu rakyat meringankan beban mereka berbelanja pada musim perayaan.
Tambahnya, pemantauan bukan sahaja dilakukan di pasar raya besar tetapi di semua premis termasuk kedai runcit dan berharap aduan segera dapat dikemukakan oleh pengguna jika terdapat penyelewengan harga.
”Kalau peniaga yang melakukan kesalahan melebihi harga maksimum diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
”Adalah dingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” tambahnya
Pada tahun 2024, SHMMP telah dilaksanakan sebanyak tiga kali yang melibatkan perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa dan Deepavali.- MalaysiaGaztte