KUALA LUMPUR – Pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) didorong kebencian, permusuhan dan dendam politik mengesahkan apa yang diperkatakan beberapa pihak berhubung dakwaan penyalahgunaan badan kehakiman.
Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er berkata, keberanian Perdana Menteri dalam mengakui kelemahan itu di dalam kerajaan harus dipuji dan membuktikan komitmen beliau untuk menegakkan keadilan serta menyerlahkan keperluan untuk pembaharuan sistem perundangan demi memastikan kebebasan dari campur tangan politik.
“Sikap pemimpin PH (pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad) ini telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara yang bertujuan menegakkan keadilan dan kesaksamaan dan juga mempersendakan sistem demokrasi negara, kerana menggunakan kuasa untuk tujuan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, beberapa kes mahkamah berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin Barisan Nasional, seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini, telah membuktikan bahawa tuduhan serta fitnah terhadap mereka sebelum ini tidak berasas.
Katanya, dendam politik tersebut bukan sahaja memperlekehkan badan kehakiman, tetapi membazirkan wang dan sumber negara.
Tegasnya, mereka yang terlibat wajar diheret ke muka pengadilan kerana dilihat menyalahkangunakan kuasa.
“Menjelang tahun ketiga di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim, langkah ini akan memastikan bahawa penyalahgunaan kuasa demi dendam politik tidak akan berulang dan penyebaran berita palsu serta melempar fitnah juga dapat dihentikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette