Ketua Jabatan Haji Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun (dua kiri) bersama Presiden Bumitra Malaysia, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin (tengah) melakukan gimik Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ke 3 di TH03 Temu Hall, Menara Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak membenarkan semua 37 Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mempromosi visa mujamalah atau furada bagi musim haji 1446H/2025.

Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, larangan itu bagi mengelak penipuan kerana tidak ada kepastian dalam mendapatkan visa tersebut untuk ke Tanah Suci.

“Visa yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada Malaysia adalah 31,600, itu yang pasti.

“Visa mujamalah atau visa furada ini memang ada, cuma ia dikeluarkan kepada individu atau organisasi tertentu dan biasanya dikeluarkan di saat akhir, biasanya di penghujung bulan Syawal atau pada Zulkaedah.

“Tetapi visa mujamalah tidak ada kepastian berapakah yang akan diberikan dan siapakah akan dapat maka lebih baik PJH tidak mengiklankan visa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Ke-3 (KHUP 3) di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Jabatan Haji Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun (tengah) berucap pada Sidang Media Pra Pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan kali ke 3 di TH03 Temu Hall, Menara Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 DISEMBER 2024

Visa mujamalah ialah visa yang dianugerahkan setiap tahun oleh Kerajaan Arab Saudi kepada orang-orang tertentu serta individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat serta kementerian-kementerian yang sama dengannya di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Hisham menasihati masyarakat agar tidak terpedaya dan tertipu dengan promosi visa mujamalah bagi mengelak jemaah haji terkandas sama ada di lapangan terbang atau di luar Malaysia.

“Oleh sebab itu kita berharap sekiranya nanti ada  yang dapat tawaran visa mujamalah atau furada, pilihlah untuk berdaftar dengan PJH untuk mengelak tertipu.

“Ada banyak syarikat yang buat iklan, ini menyalahi Akta TH kerana tak dilesenkan dan kemungkinan besar jemaah akan ditipu,” katanya.

Mohd. Hisham menambah, laporan boleh dibuat TH sekiranya melihat iklan mengenai visa mujamalah di mana-mana platform. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here