IPOH – Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong akan melepaskan jawatan yang disandangnya berkuat kuasa 1 Januari ini.
Katanya, walaupun terlibat dalam mengemudi Skuad The Bos Gaurus selepas ketiadaan Ketua Pegawai Eksekutif sejak Oktober lalu, ia cukup memberi ruang dan peluang kepadanya untuk memahami isu serta masalah industri bola sepak tempatan.
Tanpa mendedahkan alasan tentang keputusannya itu, Neow berharap penyokong bola sepak tempatan terus memberikan sokongan kepada pasukan negeri demi martabat bola sepak Perak.
“Saya sentiasa yakin dan percaya bahawa Perak mempunyai ramai bakat muda. Saya berharap pengurusan Perak FC akan terus memberi kepercayaan dan peluang kepada bakat-bakat muda kita.
“Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan para penyokong serta pasukan Perak FC.
“Mungkin selepas ini lebih tenang untuk saya menonton setiap perlawanan membabitkan pasukan Perak FC dari tempat penyokong dan bersama dengan para penyokong,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook, pada Isnin.
Mengulas lanjut tentang perjalannya bersama Perak FC, Neow berkata, sejak awal pembabitan pada tahun lalu, tanggungjawab dan fokus beliau tertumpu kepada pembangunan bakat-bakat muda di peringkat akar umbi.
Kata beliau, Perak FC berjaya bergerak ke seluruh daerah di Perak melalui pelbagai program pembangunan dan pencarian bakat seperti District Training Centres (DTC), Grassroots Playday Festival, Piala Cheetah, dan Piala XOX.
Jelas beliau, kesemua program berkenaan merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak sekolah.
Di samping itu Neow memberitahu, Akademi Bola Sepak Perak FC yang melatih bakat-bakat muda di peringkat umur bawah 15 tahun juga berjaya ditubuhkan pada awal tahun ini.
“Walaupun rata-rata pemain yang bersama Akademi Perak FC sebelum ini tidak mempunyai asas dan kemahiran yang tinggi, mereka telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Ia sehingga mereka berjaya muncul sebagai Juara kategori Plate dalam Perlawanan Jemputan Antarabangsa B-12 Tahun baru-baru ini.
“Ini adalah hasil daripada kesungguhan para pemain sendiri dan modul latihan secara terancang oleh Coach Raja Azlan dan para jurulatih yang banyak berkorban masa dan tenaga,” katanya lagi,” – MalaysiaGazette