Gambar Hiasan

NILAI – Seorang peniaga kerugian lebih RM500,000 apabila terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim berkata, pada 11.17 pagi tadi pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun memaklumkan menerima panggilan telefon daripada individu tersebut di premis perniagaannya.

Beliau berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kononnya ke Bukit Aman dan pengadu dimaklumkan bahawa akaun miliknya digunakan bagi aktiviti penggubahan wang haram.

“Pengadu menyatakan telah memindahkan wang ke 11 akaun diberikan suspek melalui 14 transaksi untuk tujuan pengesahan kewangan berjumlah RM655,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes berasingan, Abdul Malik berkata, seorang jururawat kerugian RM304,500 akibat terpedaya skim pelaburan saham.

Beliau berkata, pihaknya menerima satu aduan daripada seorang wanita tempatan berusia 49 tahun yang menyatakan telah melihat satu iklan di aplikasi Facebook yang menawarkan skim pelaburan saham pada 4 November lepas.

“Pengadu berminat untuk melabur dalam sistem saham tersebut dan telah dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil pihak DKCM.

“Mangsa kemudian diterangkan berkenaan skim pelaburan saham tersebut dan bersetuju untuk melabur sebelum memindahkan wang ke dalam lima akaun diberikan untuk tujuan pelaburan saham melalui 13 transaksi,” katanya.

Beliau berkata, pengadu sedar telah ditipu selepas WhatsApp pengadu disekat pada 3 Disember lepas selain tidak dapat mengeluarkan keuntungan seperti yang dijanjikan.

Abdul Malik berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan serta menangkap suspek bagi kedua-dua kes. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here