Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Polis menyelamatkan dua warga China kategori orang kurang upaya (OKU) yang menjadi pengemis di pasar malam dan kedai makan sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, selain itu pihaknya menangkap seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan dan penyeludupan orang.

Jelas beliau, tangkapan dibuat dalam Ops Pintas Mega Tip pada pukul 10.50 malam semalam.

“Bertindak atas maklumat, kita menjalankan pemeriksaan dan tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 67 tahun di Jalan Perkasa 5, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini.

“Hasil tangkapan suspek, pada hari yang sama pukul 11 malam, serbuan dilakukan di sebuah premis di Jalan Temenggong 3, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dan telah berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga China berusia 39 tahun bersama seorang wanita Warga China berusia 36 tahun.

“Mereka yang diselamatkan adalah kategori OKU,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis membuat rampasan satu telefon bimbit, satu kad pemandu Agensi Pengangkutan Awam Darat, sebuah Proton Wira, kunci kereta, alat kawalan jauh kereta, kunci rumah dan alat kawalan jauh rumah milik mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai penghantar yang membawa dan menghantar mangsa untuk mengemis di pasar malam dan kedai makan sekitar Johor Bahru.

“Mereka telah aktif sejak awal November lalu dengan hasil kutipan mencecah RM50 hingga RM150 sehari,” jelasnya.

Beliau memberitahu, dua suspek yang ditangkap kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Disember ini.

Pada masa sama kata Balveer Singh, permohonan perintah perlindungan (IPO) selama 21 hari ke atas kedua-dua mangsa di bawah Seksyen 44(2) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007
telah dibuat untuk menempatkan mereka di rumah perlindungan bagi menjalankan siasatan lanjut.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here