KUALA LUMPUR – Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subiato di Langkawi, Kedah hari ini terpaksa ditangguhkan.
Menurut Anwar, Probowo meminta pertemuan tersebut ditangguhkan kerana mengalami demam.
“Saya dan keluarga sudah di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan sahabat, Presiden Prabowo Subianto hari ini. Namun, malam tadi beliau mohon menangguhkan pertemuan untuk beberapa hari kerana demam.
“Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan sesegera mungkin sekaligus menyambung rencana pertemuan dua negara,” katanya melalui kenyataan di media sosial.
Sebelum ini, media melaporkan, Perdana Menteri berkata, pertemuan empat mata dengan Prabowo akan melibatkan perbincangan dua hala dan peranan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025.
Sementara itu, Anwar memaklumkan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang turut berlangsung di Langkawi akan berjalan seperti dijadual.
“Insya-Allah, pada 26 Disember ini, saya juga dijadual menemui mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra untuk agenda ASEAN demi kesejahteraan rantau ini,” kata Anwar.
Pada 16 Disember lalu, Anwar memaklumkan Thaksin dilantik sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Thaksin mempunyai pengalaman, khasnya membantu dalam menyelaras isu Myanmar.
Beliau menyifatkan penglibatan Thaksin sebagai penasihat sebagai satu pendekatan yang strategik.
“Tetapi kedudukan beliau adalah sebagai penasihat bersama pasukannya kepada saya sebagai Pengerusi ASEAN dan ia tidak struktur formal ASEAN,” tambah Anwar.
Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 daripada Laos.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.- MalaysiaGazette