KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Bakti Madani (MADANI) peringkat Parlimen Rembau di Dewan Biduanda, Kampus UiTM Rembau, Negeri Sembilan hari ini.
Program itu melibatkan lebih 50 Komander Kesatria UiTM sebagai anak angkat dan 25 keluarga angkat dari Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong.
Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris, berkata, program berkenaan dapat memperkasakan kepimpinan mahasiswa UiTM.
“Selain itu, program perkongsian ilmu itu juga dapat mengukuhkan ikatan komuniti selain memperkasa pelaksanaan pendidikan tinggi berimpak berteraskan gagasan Malaysia Madani.
“Mahasiswa turut berpeluang menyantuni keluarga angkat, menyelami pengalaman dan memahami cabaran yang dihadapi komuniti DUN Chembong.
“Ini seiring dengan teras keempat Malaysia MADANI iaitu IHSAN, yang menekankan belas ihsan terhadap nasib semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono menegaskan, program yang sama sejajar dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Hal ini kerana ia merangkumi fokus pertama iaitu penyediaan bakat terbaik negara, dan landasan ketiga yang memberi fokus terhadap kemenjadian pelajar dan mahasiswa,” tambahnya.
Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gotong-royong, Kursus Inovasi Penanaman Cendawan Tiram, Kenduri Muhibbah dan Sukan Rakyat bersama komuniti.
Dengan pelaksanaan program berkenaan, UiTM terus menunjukkan komitmen dalam mendukung agenda Malaysia MADANI untuk memperkasakan masyarakat secara inklusif dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette