KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, beliau tidak pernah menyebut tidak bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan sekarang.
Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, persetujuan pihak pembangkang tidak diperlukan.
“Tidak pernah mana-mana kerajaan di Malaysia dapatkan persetujuan pembangkang dulu untuk buat pilihan raya.
“Saya tidak pernah menyebut tidak setuju. Saya hanya menulis, “kasihan kepada rakyat, sewaktu rakyat bergelut dengan kos sara hidup semakin tinggi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata “jika buat PRU sekarang, kerajaan akan menang”.
“Nasiblah rakyat mendapat kerajaan seperti hari ini…” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, itu isu mentaliti Perdana Menteri, bukan isu setuju atau tidak pilihan raya.
“Kalau Perdana Menteri yakin sangat boleh menang, di mana sering dikatakan bahawa kerajaan sekarang tidak dapat melaksanakan banyak janji kerana bergabung dengan banyak pihak, nah, buat sahajalah,” ujarnya.
Terdahulu pada Sabtu lepas, Anwar menyuarakan keyakinan Kerajaan Madani mempunyai kelebihan memenangi PRU jika diadakan dalam tempoh terdekat.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi.
Pada masa sama, Anwar turut menyentuh mengenai prestasi Kerajaan Madani dan barisan Jemaah Menteri sepanjang dua tahun pentadbiran yang mana masih boleh diperbaiki pada masa depan.
Menteri Kewangan itu juga mengakui terdapat prestasi barisan menteri yang dikategorikan sebagai cemerlang dan ada juga yang masih di tahap sederhana. – MalaysiaGazette
jangan dilayan geng tebuk atap ni. kerajaan Madani didalam landasan yg betul menuju kearah Malaysia yg maju dan cemerlang. abaikan mereka demi kesejahteraan rakyat.