Shahrulanuar Mushaddat menunjukkan ganja yang dirampas dalam serbuan di dua rumah berasingan, selepas sidang akhbar di IPD Batu Pahat, Batu Pahat.

BATU PAHAT – Polis berjaya menghidu kegiatan satu sindiket yang menjadikan dua rumah berasingan di Taman Melur di sini sebagai tempat stor penyimpanan ganja selepas melakukan serbuan kelmarin.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkmotik Daerah (BSJND) Batu Pahat pada pukul 11.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil serbuan itu dua suspek berusia 39 dan 53 tahun berjaya ditahan.

“Mereka ditahan bersama-sama dadah dipercayai jenis ganja anggaran harga RM25,557.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati salah seorang suspek positif jenis THC (Tetra Hydrocanniboi) manakala semakan kedua-dua tahanan tiada mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah menjadikan tempat kediaman sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula.

“Mereka kemudian mengedarkan ke pasaran tempatan dan dipercayai aktif sejak September tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrulanuar berkata, dalam serbuan itu, polis merampas tujuh ketulan mampat daun kering anggaran berat 7,460 gram (g), tiga balutan plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering anggaran berat 17.82g.

Ia temasuk 19 balutan plastik warna merah berisi daun kering (269g), 24 balutan plastik warna putih berisi daun kering (448g), dua peket plastik lutsinar berisi daun kering anggaran berat (34.20 g) dan satu peket plastik berisi daun kering (15g).

Menurut Shahrulanuar lagi, jumlah keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM25, 557.40 dan boleh digunakan sehingga 1,000 orang penagih.

Ujarnya, pihak polis menyita sebuah kereta, tiga buah motosikal serta wang tunai RM1,231 dan jumlah keseluruhan nilai sitaan adalah RM17,531.

“Kedua-dua tangkapan dikenakan tahanan remah selama tujuh hari sehingga 28 Disember ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here