JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan sampul kertas mata wang asing untuk mengisi serbuk ekstasi sebelum diedarkan kepada pelanggan di kelab-kelab malam di negeri ini.
Taktik itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan tiga serbuan sekitar Taman Pelangi di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, menerusi serbuan tersebut dua lelaki tempatan berusia 33 dan 40 tahun bersama sejumlah rampasan dadah.
“Kita menahan suspek yang berusia 33 tahun ketika sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak manakala seorang lagi tangkapan dilakukan di tepi jalan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin. Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Pihaknya turut merampas 1,246.50 gram(g) serbuk ekstasi bernilai RM208,161 selain 25.10 g pil erimin 5 bernilai RM1,800 dan 3.80g ketamin bernilai RM760.
“Ekstasi in diisikan dalam sampul kertas mata wang antarabangsa, mata wang dollar. Dijual pada harga RM150 hingga RM200 untuk satu sampul. Jika sekali padang kita ingat duit,” katanya.
Dadah ekstasi itu juga katanya, dijual dalam bentuk jus minuman dan ketamin pula dalam pakej plastik kecil dijual pada harga RM760.
Menurutnya, nilai rampasan dadah tersebut RM210,721 dan pihak polis juga menyita wang tunai RM120 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Beliau memberitahu, jumlah nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi tersebut RM235,841.
Raub berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menjadikan rumah teres dan kereta sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.
Kegiatan mereka ujarnya, beroperasi aktif sejak Oktober lalu dan bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dan diedar di negeri ini.
Ditanya sama ada masih terdapat saki baki ahli sindiket tersebut, beliau berkata, pihak sedang menyiasat dan tidak menolak kemungkinan masih ada rakan suspek yang masih bebas.
Kedua-dua suspek kata Raub, ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 28 Disember ini bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.- MalaysiaGazette