KUALA LUMPUR – TM menjalinkan kerjasama strategik dengan Perodua dalam memajukan pembangunan kenderaan elektrik (EV), inovasi digital, dan pertumbuhan lestari, sejajar dengan visi Malaysia untuk mewujudkan sektor automotif bernilai tinggi dan berdaya saing di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
TM berkata, kolaborasi ini meliputi empat bidang strategik, iaitu: Rangkaian Sambungan Hiper (Hyperconnected Network), Kemajuan Teknologi Digital, Peningkatan Pengalaman Pelanggan, dan Kelestarian Alam Sekitar.
“TM, melalui TM One, cabang perniagaan untuk sektor perusahaan dan kerajaan, berhasrat menaik taraf infrastruktur Perodua dengan menyediakan sambungan tetap dan tanpa wayar, termasuk penyelesaian SD-WAN untuk rangkaian pengedar, rangkaian 5G persendirian untuk aplikasi automotif, dan teknologi pembuatan pintar untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.
“Usaha ini akan memperkukuh keupayaan operasi Perodua, memperkemaskan pengurusan data, dan menyokong perkembangan masa hadapannya.
“TM One juga akan memanfaatkan kemampuannya dalam Cloud, Keselamatan Siber, Analitik Data, dan keupayaan kecerdasan buatan (AI) untuk menyediakan inisiatif seperti pembuatan pintar, GPU sebagai Perkhidmatan, serta teknologi EV dan pemanduan tanpa pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kerjasama ini dimeterai dalam perjanjian di antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md. Deris dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.
Selain itu, TM dan Perodua akan bekerjasama memperluas capaian pasaran dan meningkatkan keterlihatan jenama melalui produk bersama dan strategi inovatif ke pasaran.
Ini termasuk sistem infotainmen khusus, penyelesaian pemetaan pintar, dan pemasaran bersama menggunakan alat digital untuk menarik segmen pelanggan baharu.
TM dan Perodua juga komited terhadap kelestarian alam sekitar dengan bekerjasama dalam penyelesaian tenaga bersih untuk infrastruktur pengecasan EV dan pengurangan sisa, selaras dengan matlamat alam sekitar negara.
Melalui latihan tenaga kerja, penyelidikan dan pembangunan dan amalan lestari, kerjasama ini akan memupuk budaya inovasi untuk masa depan automotif Malaysia yang lebih berdaya digital dan mesra alam.
Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama dengan Perodua mencerminkan komitmen TM dalam memacu transformasi digital dalam industri automotif, meningkatkan pengalaman pengguna, dan mencipta nilai jangka panjang.
“Dengan menyediakan sambungan berkelajuan tinggi yang selamat dan penyelesaian digital yang boleh diskala, kerjasama ini akan
menyokong misi Perodua untuk inovasi dan pertumbuhan yang lebih besar, sekaligus membuka jalan kepada masa depan industri automotif yang lebih terhubung dan lestari.
“Ini adalah satu lagi pencapaian dalam aspirasi TM untuk menjadi Pemacu Digital, mempelopori pertumbuhan industri melalui pendigitalan dan membuka peluang baharu untuk memacu organisasi dan negara ke hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette