Malehah Mohd Noh mengunjungi pameran daripada Persatuan Perubatan Desa sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2024 Peringkat UMS.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyebar luas pengetahuan berkaitan HIV dan AIDS serta meningkatkan kesedaran berkaitan penularan HIV serta cara-cara pencegahan berkesan melalui program Sambutah Hari AIDS 2024 anjuran Jabatan Perubatan Keluarga Hospital UMS (HUMS).

Dengan tema ‘Take the Rights Path: My Health, My Right!’, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, sambutan kali ini menekankan hak individu untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta maklumat yang tepat mengenai pencegahan HIV dan AIDS.

Katanya, tema tersebut mengingatkan bahawa setiap individu berhak untuk hidup tanpa diskriminasi dengan mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang sihat dan bebas stigma.

“Melalui sambutan ini, kita memperkukuhkan komitmen bersama untuk membanteras HIV/AIDS dan memastikan semua individu, tanpa mengira latar belakang, diberi peluang yang sama dalam menjaga kesihatan mereka.

“Statistik tahun 2023 Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan peratusan golongan tertinggi yang berisiko menghidap HIV adalah dalam kalangan pelajar universiti.

“Oleh itu, program yang dianjurkan hari ini yang berteraskan pendidikan mengenai pencegahan dan kesedaran terhadap HIV adalah program yang perlu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan warga UMS mempunyai kesedaran tinggi berkaitan HIV dan sekali gus membantu kerajaan dalam mengurangkan risiko penularan HIV dalam komuniti,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2024 Peringkat UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh.

Tambah Kasim, penganjuran program sedemikian bukan hanya untuk menyebarkan maklumat mengenai pencegahan HIV, tetapi juga membentuk sikap yang lebih positif dan bertanggungjawab dalam kalangan warga UMS terhadap kesihatan diri dan orang lain.

“Justeru, saya mengambil peluang ini untuk menyeru masyarakat supaya sentiasa memberi sokongan terhadap usaha seperti ini agar program
kesedaran yang dianjurkan dapat memberi kesan yang positif kepada semua masyarakat terutamanya dalam penjagaan kesihatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here