SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Jabatan Fizik, Fakulti Sains, menganjurkan ASEM Campus Connect (ACC) – Next-Gen Talent: The Semiconductor Career Roadshow untuk mempersiapkan pelajar menghadapi dunia digital serta menjalin hubungan bersama industri.
Program ini diadakan untuk mendedahkan pelajar kepada industri semiconductor dengan menyediakan peluang latihan industri untuk membina kerjaya masa depan serta memahami keperluan pasaran kerja yang menggunakan teknologi terkini.
Pengarah Program, Dr. Tan Sin Tee berkata, program ini untuk membantu pelajar memahami pelbagai peluang latihan industri dan pekerjaan dalam industri semikonduktor, terutamanya dalam teknologi AI.
“Pelajar dapat membuat keputusan yang bijak mengenai pemilihan kerjaya kerana program ini selari dengan penyesuaian kurikulum seperti teori semikonduktor serta melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dalam menyokong pembangunan ekonomi digital negara,” katanya.
Pengarah Teknikal Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC), Ts. Dr. Lee Hing Wah berkata, rantaian bekalan semikonduktor global bukan sahaja memberikan sumbangan kepada ekonomi negara, tetapi membuka peluang besar bagi pelajar untuk menceburi industri teknologi tinggi.
“Pada pandangan saya, industri semikonduktor banyak berkait rapat dengan transformasi digital seperti loT dan kecerdasan buatan (Al) yang semuanya memerlukan pelajar dengan kemahiran terkini,” ujarnya.
Dalam pada itu, program ini mendapat kerjasama SDS AI Lab Sdn. Bhd. dan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) telah disertai seramai 200 orang pelajar bagi meneroka pelbagai peluang kerjaya dalam bidang yang semakin kritikal untuk teknologi masa depan. – MalaysiaGazette