ALOR GAJAH – Tujuh individu termasuk seorang bayi perempuan maut manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori treler di KM 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, MPV jenis Toyota Estima yang remuk sepenuhnya di bawah treler mengorbankan semua lima daripada lapan individu termasuk bayi perempuan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Mohd Pisar Aziz berkata, dua lagi yang maut adalah pemandu bas persiaran dan penumpang wanita.
“Identiti kesemua mangsa maut dan cedera bagaimanapun masih belum dapat dipastikan dalam nahas berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh itu.
“Kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Melaka (HM) dan Alor Gajah serta sebuah hospital swasta manakala mayat dihantar ke HM,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tengah malam tadi.
Sementara itu wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi sehingga pukul 1.30 pagi ini mendapati semua tiga lorong lebuh raya ditutup sepenuhnya.
Proses mengalihkan bas, treler, MPV serta muatan pakaian terpakai yang tercampak daripada treler itu sedang dilakukan. – MalaysiaGazette