BANGI – Ayah kepada Allahyarham Khairul Ikhwan yakin pihak sudah polis menjalankan siasatan dan mengumpulkan bukti kemalangan yang mengorbankan anaknya, menantu, cucu dan dua besannya.
Datuk Mazupi Abdul Rahman percaya pihak berkuasa itu tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati bersalah hingga mengakibatkan kemalangan tersebut.
“Saya yakin pihak polis telah menjalankan siasatan, saya percaya siasatan dilakukan adil dan saya percaya dalam kejadian ini bukti telah dikumpulkan oleh pihak polis.
“Dan saya percaya pihak pendakwa raya akan mengambil tindakan kepada mereka yang melakukan kesalahan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi di Sungai Tangkas di sini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu proses pengebumian keluarganya pada hari ini.
“Terima kasih kepada polis, rakan sejawat yang datang ramai-ramai solat jenazah dan mendoakan arwah agar aman dalam alam kubur. Saya sendiri terharu kerana ramai doakan dia (anak dan keluarga),” katanya lagi.
Terdahulu, kesemua jenazah iaitu Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 bersama anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, termasuk mentuanya Ramli Ab Wahab, 66 dan Fauziah Jaafar, 69 selamat disemadikan pada jam 7.30 malam tadi.
Jenazah mereka terdahulu disembahyangkan di Surau Al-Ikhlas Seksyen 4, Bandar Baru Bangi selepas bedah siasat di Hospital Melaka.
Dalam pada itu, Mazupi memaklumkan akan segera ke Melaka pada malam ini untuk memantau perkembangan dua lagi cucunya, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, masing-masing berusia tujuh dan empat tahun.
Mereka dijadualkan akan menjalani pembedahan esok. -MalaysiaGazette