Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
BARU-baru ini, masyarakat telah dikejutkan dengan budaya yang mengejutkan yang boleh memberi impak yang besar terhadap masyarakat. Budaya ‘swinger’ atau aktiviti bertukar pasangan suami isteri ini jelas bertentangan dengan mana-mana agama sekalipun di dunia ini.
Hadis Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada yang disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah kecuali salah satu daripada tiga perkara iaitu (1) berzina, padahal dia sudah berkahwin, (2) membunuh orang, dan (3) meninggalkan agamanya serta memisahkan diri daripada jemaah (murtad)’.
Maruah dan nyawa adalah dua perkara yang sangat dititikberatkan dalam agama Islam kerana, jika dilanggar mana-mana perkara ini, hukuman yang boleh dikenakan terhadap pelakunya adalah hukuman bunuh. Sudah pasti apabila hukuman yang seberat itu adalah disebabkan oleh kesan atau impak yang sangat buruk baik kepada diri sendiri mahupun masyarakat sekeliling.
Perkataan swinger sebenarnya merupakan satu terma budaya yang lahir dari Barat yang mana pasangan suami isteri yang sah atau pasangan kekasih yang secara sukarela bertukar-tukar pasangan untuk melakukan hubungan kelamin. Tujuan aktiviti ini kononnya dibuat dengan alasan untuk memastikan keseronokan hubungan kelamin dapat disemarakkan atau dipelbagaikan melalui pasangan-pasangan yang berbeza.
Malah, laporan berita juga pernah beberapa kali melaporkan tentang bagaimana aktiviti tidak bermoral ini sudah mula menjadi tular apabila promosi telah dilakukan secara dalam talian dengan kewujudan kumpulan-kumpulan tertentu yang jelas menyalahi undang-undang dunia, mahupun agama! Ini boleh dikatakan sebagai salah satu penyakit sosial yang sedang mula merebak dalam kalangan masyarakat yang mana jika dibiarkan boleh mendatangkan bala kepada masyarakat malah boleh mencemarkan nama baik negara Malaysia.
Sebagai contoh, dalam salah satu kes yang pernah didedahkan di sebuah platform media popular, seorang isteri telah meluahkan rasa gelisah apabila suaminya yang dari segi amalan agamanya seperti solat, puasa, dan membaca al-Quran tetapi mempunyai hobi yang tidak dapat diterima akal seperti suka merekod aktiviti hubungan intim selain suka mengumpul video-video dan bahan-bahan lucah untuk dijadikan simpanan.
Keadaan ini sudah tentunya boleh mendatangkan mudarat yang mana boleh meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan dan institusi keagamaan. Dari sudut kekeluargaan, jika pasangan kerap kali bertukar pasangan, ada kemungkinan kehamilan akan
berlaku dan wanita yang hamil tersebut mungkin tidak tahu asal usul benih bayi yang dikandungnya akibat daripada kegiatan yang tidak bermoral tersebut.
Keadaan ini jelas akan memberi kesan kepada keturunan generasi yang dilahirkan dan ini sangat-sangat bertentangan dengan agama. Malah, kegiatan seumpama ini hanya akan menambahkan lagi bilangan pesakit kelamin disebabkan oleh aktiviti tidak sihat ini.
Walau semoden manapun sesuatu tamadun dan walau sejauh manapun perkembangan teknologi dicapai, manusia kini dilihat semakin terarah kepada amalan masyarakat pada zaman jahiliyah yang sudah pastinya tidak ada panduan hidup terutamanya dari segi agama.
Apa yang menakutkan ialah, contoh apakah yang sedang kita bina untuk generasi akan datang? Manusia dalam golongan ini dilihat lebih cenderung melihat ke arah keseronokan dunia semata-mata tanpa mengira hukum-hakam agama malah boleh dianggap mencabar hukum Tuhan.
Malah, baru-baru ini juga laporan media melaporkan tentang kes seorang tukang sapu yang telah dikenakan hukuman denda RM80,000 atas kesalahan menyebar serta menjual kandungan lucah tentang kegiatan swinger. Dalam kes lain, terdapat juga laporan yang melibatkan penjawat awam dan pelajar universiti awam yang terlibat dalam kegiatan ini.
Ini bermaksud, latar belakang individu yang terlibat boleh menjadi sesiapa sahaja dari mana-mana lapisan masyarakat. Adakah ini bermaksud golongan ini menerima atau menyokong
sepenuhnya amalan swinger ini?
Berbalik kepada hati, ada perlunya manusia kembali kepada lumrah sebagai hamba ciptaan Yang Maha Esa. Yang tahu semua manusia akan mati dan tidak akan hidup selamanya. Balik kepada asas nilai kehidupan yang mana amalan yang baik akan dibalas dengan perkara yang baik dan begitu juga sebaliknya.
Masyarakat yang dianggap moden kini perlu sedar sepatutnya kemajuan kehidupan yang ada sekarang sepatutnya menjadikan kita lebih arif dalam menilai sesuatu yang baik atau buruk. Menurut agama Islam, ini lebih cenderung kepada soal keimanan yang mana hanya diri kita sendiri yang dapat mengawal kehendak dan nafsu kita.
Kesimpulannya, amalan tidak bermoral ini seharusnya mendapat tentangan keras daripada masyarakat dan khususnya pihak autoriti. Pastinya kita tidak mahu mewujudkan satu budaya yang terang-terang akan merosakkan nama baik agama dan dan keluarga. Jika difikir kembali, inilah yang dimaksudkan oleh agama Islam yang mana hukuman hudud itu perlu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan yang tidak sihat seperti ini.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan