KUANTAN – Laksamana Pertama Maritim Hamizan Harun menzahirkan syukur setelah dilantik sebagai Pengarah Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) yang baharu.
“Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi seterusnya mengucapkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi Maritim Malaysia atas pemilihan dan pelantikan ini.
“Semoga warga AMSAS untuk bersama berganding bahu menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab dan amanah dalam menjadikan AMSAS sebagai pusat kecemerlangan maritim yang disegani,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hadir sama pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, barisan Pengurusan Tertinggi AMSAS, warga kerja AMSAS serta para pelatih asas Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024.
Sementara itu, Mohd Zawawi mengingatkan pengiktirafan yang diterima AMSAS sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa membuktikan AMSAS merupakan pusat kecemerlangan bertaraf dunia dalam melahirkan pegawai penguat kuasa yang berkemahiran dan kompeten.
Menurutnya, kepimpinan yang berkualiti akan dapat menentukan hala tuju AMSAS dalam menyajikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh, seterusnya memastikan AMSAS menjadi pusat kecemerlangan bertaraf dunia.
Majlis serah terima tugas itu berlangsung dengan sesi menandatangani dokumen dan penyerahan tugas oleh Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Hamildin Che Awang di Dewan Auditorium AMSAS, semalam. – MalaysiaGazette.