KUALA LUMPUR – Pas percaya penggemblengan kekuatan moral dua komuniti agama terbesar iaitu Islam dan Kristian mampu memainkan peranan besar ke arah melahirkan dunia yang lebih aman dan bebas daripada keruntuhan akhlak, peperangan, kezaliman, kebencian, kelaparan dan ketidakadilan untuk semua orang, kelompok dan rantau.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dengan latar belakang akar agama Ibrahimiyyah yang sama, Pas percaya umat Islam dan penganut Kristian mempunyai banyak persamaan, baik dari segi asas kepercayaan mahupun amalan dan mampu menyumbang kepada penciptaan negara yang lebih baik.
“Kepercayaan monoteisme, perkongsian para Nabi dan Rasul, kedudukan mulia Maryam, kehidupan selepas mati serta balasan syurga dan neraka, amalan berpuasa dan keunggulan sedekah adalah antara persamaan yang bertujuan membentuk watak manusia yang baik serta berguna kepada diri sendiri dan juga masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Krismas esok di Facebook rasmi Pas di sini hari ini.
Takiyuddin menambah, Pas mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia dengan harapan sambutan tahun ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sebagaimana tahun-tahun lepas.
Kata beliau, sebagai komuniti agama ketiga terbesar di negara ini, sambutan hari kebesaran penganut Kristian adalah sebahagian penting budaya besar Malaysia yang menambah kepada warna-warni pengalaman hidup rakyat dan menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat yang lebih matang, saling menghormati serta bertimbang rasa.
“Pas meraikan dan menyambut baik aspek pengayaan pengalaman itu dan kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti dan bermoral bersandarkan nilai-nilai keagamaan yang luhur dan suci,” katanya. – MalaysiaGazette