KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan situasi Covid-19 dan influenza di negara ini masih terkawal dengan tiada peningkatan kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selain tiada kematian dilaporkan.
“Pengisian katil bukan kritikal menurun daripada 0.16 peratus kepada 0.13 peratus dan pengisian katil ICU turut menurun kepada 0.10 peratus berbanding 0.14 peratus.
“Tiada kes kematian Covid-19 dilaporkan sejak 25 April dengan jumlah kumulatif kekal sebanyak 58 kematian.
“Selain itu, tiada kes varian baharu dikesan dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia merupakan varian Omicron dan subvariannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
KKM menambah, bagi jangkitan influenza, hasil survelan berasaskan makmal mendapati, 139 daripada 856 sampel influenza-like illness (ILI) di klinik kesihatan (16.24 peratus), serta lapan daripada 67 sampel Severe Acute Respiratory Infections (SARI) di hospital (11.94 peratus), adalah dikesan positif bagi virus influenza pada ME 50/2024.
Katanya, daripada sampel yang dikesan positif influenza, 32 peratus adalah terdiri daripada jenis Influenza A manakala 26 peratus adalah Influenza B.
“Terdapat penurunan berbanding minggu sebelumnya iaitu 152 daripada 827 (18.38 peratus) sampel ILI dan sembilan daripada 68 (13.24 peratus) sampel SARI dikesan positif influenza.
“Daripada sampel yang positif influenza, 37 peratus adalah terdiri daripada influenza A dan 27 peratus adalah influenza B. Walaupun jangkitan influenza tidak wajib untuk dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 namun KKM sentiasa memantau kes influenza di seluruh negara,” katanya.
KKM berkata, peningkatan kes Covid-19 dan influenza di Malaysia pada hujung tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya, selaras dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara-negara lain terutamanya yang bermusim sejuk seperti Jepun.
Oleh itu katanya, pihak berkuasa di negara-negara berkenaan biasanya menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin influenza pada setiap kitaran musim.
“Walaupun Malaysia beriklim tropika, sempadan negara kini dibuka seperti biasa untuk perjalanan keluar dan masuk dari pelbagai negara, termasuk negara-negara bermusim sejuk.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitan atau penularannya kepada orang lain semasa perjumpaan ketika musim perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette