Ahli keluarga serta orang ramai menguruskan jenazah lima sekeluarga yang merupakan mangsa kemalangan di Ayer Keroh bagi proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 24 DISEMBER 2024.

BANGI- Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi di Sg. Tangkas apabila jenazah lima beranak yang terkorban dalam kemalangan tragis di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara semalam tiba di sini jam 6.45 petang.

Terdahulu, kesemua jenazah Allahyarham Khairul Ikhwan Mazupi, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 bersama anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2 termasuk mentuanya Ramli Ab Wahab, 66 dan Fauziah Jaafar, 69 disembahyangkan di Surai Al-Ikhlas Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.

Semua jenazah dibawa ke surau itu dari Hospital Melaka selepas selesai proses bedah siasat.

Sebahagian daripada keluarga, saudara mara dan rakan kenalan menunaikan solat jenazah kepada keluarga Allahyarham Khairul Izwan Mazupi yang maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Melaka tiba untuk solat jenazah di Surau Al Ikhlas, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 DISEMBER 2024.

Bapa Khairul, Datuk Mazupi Abdul Rahman bersama isterinya Datin Wan Rosmini Wan Hassan gagal menahan kesedihan melihat anaknya, Khairul Ikhwan, menantu dan cucunya disemadikan.

Kesemua jenazah kemudian selamat disemadikan pada 7.30 malam.

Jenazah Fadzlenna Ramli, 32, bersama anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2 disemadikan dalam satu liang lahad.

Datuk Mazupi Abdul Rahman (baju hijau) sebak ketika solat jenazah anak lelakinya Allahyarham Khairul Izwan Mazupi yang maut dalam kemalangan lima kenderaan bersama keluarganya di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Melaka tiba untuk solat jenazah di Surau Al Ikhlas, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 DISEMBER 2024.

Keluarga itu antara tujuh maut apabila MPV dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara semalam.

Semasa kejadian, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Baru Bangi (BBB), Selangor selepas mengadakan hari keluarga dan sambutan hari lahir di Melaka.

Punca kemalangan disebabkan bas pelancong terbabit melanggar tayar lori di tengah jalan menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan tiga kenderaan lain.

Sehingga kini dua lagi anak Khairul Ikhwan, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan berusia tujuh dan empat tahun, cedera dan masih dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here