Muhamad Norzuhairi menyiram pusara noorisnien yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Johor Bahru i hari ini.

JOHOR BAHRU – Jenazah pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56, yang maut dalam kemalangan di Melaka, malam tadi, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya di sini hari ini.

Jenazah Noorisnien dikebumikan pada pukul 5.30 petang dengan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan Penduduk setempat.

Arwah yang merupakan anak ketujuh dari lapan beradik menetap di Kampung Tawakal, Kempas di sini meninggalkan empat cahaya mata dan seorang cucu.

Terdahulu jenazah Noorisnien disembahyangkan di Masjid Al-Falah, Kampung Maju Jaya diimamkan Mohd Hairul Othman selepas tiba dengan van jenazah Hospital Melaka.

Sementara itu, anak sulung Noorisnien, Muhamad Norzuhairi, 33, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada kawannya yang memaklumkan tentang kemalangan meragut nyawa bapanya itu, pukul 9.50 malam tadi.

Kali terakhir dia berhubung dengan bapanya itu pada Rabu lalu menerusi aplikasi Whatsapp, manakala kali terakhir mereka bertemu adalah pada Oktober lalu ketika kenduri sepupunya.

“Kami tinggal berjauhan, tetapi kami rapat dan kerap berhubung. Abah orangnya pendiam, tetapi kadang-kala kelakar juga. Abah kan, ada tegasnya juga.

“Saya terkilan juga, ada pesanan dan permintaan abah yang saya tak sempat tunaikan sebab tidak sangka kejadian ini berlaku dan apa yang dia pesan rupanya adalah permintaan terakhirnya,” katanya yang reda atas pemergian bapanya itu.

Anak kedua arwah pula, Siti Norizyan, 30, berkata, ketika menerima pelbagai maklumat mengenai kematian bapanya, dia terkejut dan terpaksa mencari kesahihan maklumat berkenaan terlebih dahulu.

“Saya terpaksa telefon tiga hospital di sekitar Melaka untuk mendapatkan maklumat mengenai abah, tetapi tiada nama abah di mana-mana bahagian kecemasan menyebabkan saya yakin abah berada di Jabatan Forensik dan sudah meninggal dunia.

“Kami empat beradik dan seorang cucu abah terus ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, menemani jenazah abah dari sana hingga ke sini,” katanya.

Dalam kemalangan pada pukul 8.45 malam itu,tujuh individu termasuk seorang bayi perempuan maut manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan bas persiaran, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori treler di KM 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka.

Dalam nahas itu, MPV jenis Toyota Estima yang remuk sepenuhnya di bawah treler mengorbankan semua lima daripada lapan individu termasuk bayi perempuan.

Dua lagi yang maut adalah Noorisnien yang merupakan pemandu bas persiaran terbabit dan penumpang wanita.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here