Foto FB FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) digantung keahlian mereka sebagai Ahli Gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta-merta berkuat kuasa, semalam.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan Jawatankuasa Eksekutifnya secara majoriti menerusi keputusan secara bertulis bersetuju dengan cadangan tindakan yang sudah dibentangkan untuk menggantung keahlian KAFA.

Badan induk itu berkata, keputusan untuk menggantung KAFA dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM iaitu Jawatankuasa Eksekutif FAM boleh menggantung keahlian mana-mana ahli.

“Keputusan penggantungan ini dibuat berdasarkan surat FAM bertarikh 21 Disember 2024 kepada KAFA iaitu berkaitan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM berkenaan aduan terhadap tatacara pengendalian Kongres Tahunan KAFA Kali Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA bagi sesi 2024-2028.

“Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM ini adalah satu jawatankuasa adhoc yang ditubuhkan FAM atas arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

“Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM pada mesyuarat yang diadakan pada Khamis, 19 Disember 2024 memutuskan bahawa Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 adalah tidak sah dan sudah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

“Ia disebabkan terdapat ahli gabungan yang tidak dibenarkan hadir dan tidak dijemput ke kongres berkenaan, selain prosedur dan tatacara pengendalian Kongres KAFA tersebut tidak dibuat dengan teratur dan mengikut prosedur-prosedur yang betul,” kata kenyataan FAM di sini hari ini.

Susulan penggantungan ini, FAM turut mengarahkan supaya KAFA mengadakan semula kongres dan pemilihan tersebut secepat mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here