PASIR GUDANG – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu hilang kawalan dan melanggar tiang lampu dalam kemalangan empat kenderaan di Kilometer 12.1 Jalan Permas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada pukul 2.17 petang itu melibatkan MPV Toyota Unser, kereta Mercedes-Benz S500 serta dua lori jenis UD dan Scania.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Toyota Unser memandu dari arah Tanjung Langsat menghala ke Johor Bahru.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu Toyota Unser hilang kawalan dan melanggar tiang lampu yang berada di tengah jalan lalu termasuk ke laluan bertentangan.
“Selepas masuk ke laluan bertentangan, Toyota Unser tersebut melanggar pula belakang Mercedes-Benz S500 tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada masa sama datang lori UD tersebut dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak tiang lampu yang tumbang atas jalan raya dan turut melanggar belakang Mercedes-Benz S500.
Kemudian katanya, datang pula lori Scania dan turut terlanggar tiang lampu berkenaan.
Akibat pelanggaran tersebut katanya, pemandu Toyota Unser yang berusia 34 tahun mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Mercedes-Benz S500 iaitu seorang lelaki warganegara China cedera ringan. Semua pemandu telah hadir di balai polis memberi keterangan,” ujarnya.
Kes tersebut kata Mohd Sohaimi, disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette