MUAR – Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas motosikal yang ditunggangnya keluar simpang secara mengejut sebelum dilanggar lori di Jalan Paya Panjang, Bukit Pasir di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada pukul 3.45 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori yang berusia 27 tahun sedang memandu dari arah Pagoh menuju ke bandar Muar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun itu keluar secara mengejut dari persimpangan kiri jalan.
“Lori tersebut cuba mengelak termasuk menekan brek namun tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal terbabit.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan lori berkenaan terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat perlanggaran tersebut katanya, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutamanya ketika keluar atau masuk dari simpang.
“Pastikan laluan adalah selamat dan pandulah kenderaan secara berhemah dan bertimbang rasa demi keselamatan kesemua pengguna jalan raya,” ujarnya.- MalaysiaGazette