Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan 5.74 juta siswazah pada tahun lalu meningkat 4.2 peratus dengan lebih dua pertiga bekerja dalam kategori mahir, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jumlah siswazah bekerja meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 4.76 juta orang berbanding 4.53 juta orang pada 2022 seiring dengan pertumbuhan pasaran buruh Malaysia yang lebih baik.

Kira-kira dua pertiga atau 67.6 peritus atau 3.21 juta orang siswazah bekerja dalam kategori pekerjaan mahir dengan sebahagian besarnya bekerja sebagai profesional (57.4%), diikuti oleh juruteknik dan profesional bersekutu (24.2%) dan pengurus (18.5%).

Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula menyumbang 31.3 peratus atau 1.49 juta orang daripada jumlah siswazah bekerja, manakala mereka yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah hanya mewakili 1.1 peratus (51.8 ribu orang).

Siswazah bekerja dalam kategori mahir dan separuh mahir masing-masing merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 7.8 peratus dan 0.2 peratus berbanding 2022, manakala kategori berkemahiran rendah mencatatkan penurunan sebanyak 22.0 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, persekitaran ekonomi dan pasaran buruh yang positif sepanjang tahun 2023 telah menyumbang kepada peningkatan bilangan siswazah yang kini merangkumi 5.74 juta orang atau 22.3 peratus daripada penduduk umur bekerja 15 tahun dan ke atas.

Daripada jumlah ini, 4.92 juta orang merupakan siswazah yang aktif dalam tenaga buruh, seterusnya mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) yang tinggi pada 85.7 peratus.

Pemegang ijazah mewakili 54.4 peratus (3.12 juta orang), manakala pemegang diploma menyumbang 45.6 peratus (2.62 juta orang).

Berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat sebanyak 5.4 peratus, manakala pemegang diploma menunjukkan peningkatan 3.5 peratus, didorong oleh peluang pekerjaan yang lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah.”

“Dari segi taraf pekerjaan bagi siswazah bekerja, kategori Pekerja merupakan penyumbang tertinggi dengan komposisi 87.4 peratus mencapai 4.16 juta orang pada 2023, meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun.

“Kategori majikan yang mewakili 5.3 peratus menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 9.3 peratus, berjumlah 251,400  orang. Begitu juga, bilangan siswazah bagi kategori bekerja sendiri yang menyumbang 6.5 peratus daripada siswazah bekerja, meningkat sebanyak 13.5 peratus kepada 310,700 orang pada 2023.

“Sementara itu, pekerja keluarga tanpa gaji menyumbang baki 0.8 peratus dengan merekodkan 37.6 ribu orang pada 2023,” katanya.

Dari segi sektor ekonomi, sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor perkhidmatan, yang menyumbang 77.5 peratus daripada jumlah siswazah bekerja, merekodkan seramai 3.69 juta orang, diikuti oleh sektor pembuatan (13.4%) dengan 637,900 orang dan sektor pembinaan (6.3%) dengan 301,100 orang.

Selebihnya sektor pertanian (1.7%) dan sektor perlombongan & pengkuarian (1.0%) masing-masing mencatatkan 83,000 orang dan 46,800 orang.

Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kekal menjadi cabaran, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Pada 2023, jumlah siswazah bekerja di bawah kelayakan menurun sebanyak 0.7 peratus kepada 1.54 juta orang, menjadikan kadar guna tenaga tidak penuh siswazah berkaitan kemahiran turun kepada 32.4 peratus.

Pencapaian ini meletakkan Malaysia di hadapan negara seperti Indonesia (44.4%), Korea Selatan (37.4%), dan Vietnam (35.0%), menunjukkan usaha dalam mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran.

Walaupun Malaysia masih berada di belakang negara maju seperti Australia (26.5%), Amerika Syarikat (26.1%), dan United Kingdom (20.3%), trend penurunan ini menunjukkan potensi untuk penambahbaikan di masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here