KULAI – Pemandu Honda City merah yang videonya tular kerana melawan arus di Bulatan Gemilang di sini Sabtu lalu sebelum melanggar sebuah kereta lain telah tampil membuat laporan polis tentang kejadian tersebut.
Turut membuat laporan pemandu Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 5.30 petang Sabtu yang membabitkan kereta Perodua Axia dan Honda City.
“Siasatan awal mendapati pemandu Honda City, seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun, dari arah Pasar Khet Long ke Bulatan Gemilang, hilang kawalan akibat mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang di sebelah kiri.
“Kenderaan itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah Perodua Axia dipandu lelaki tempatan berumur 42 tahun.
“Hasil saringan urin pemandu Honda City negatif dadah dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol.
“Kedua-dua pemandu tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Sebelum ini, tular video berkenaan memaparkan Honda City berwarna merah melawan arus yang menyebabkan sedikit kesesakan.
Orang awam cuma membantu dengan meminta pemandu terbabit membelok ke arah yang betul tetapi tidak berjaya dan kereta itu berlalu dengan menyongsang jalan.
Seng Lee berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Che Awang Che Ahmed 012-7063660 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette