KUALA LUMPUR – Seramai 9.8 juta guna tenaga bumiputera direkodkan dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) sebanyak 67.2 peratus.
KPTB bagi lelaki bumiputera kukuh pada 80.8 peratus, manakala perempuan 53.4 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan pencapaian tahap pendidikan dalam kalangan tenaga buruh bumiputera, sumbangan tenaga buruh yang berpendidikan menengah dan setaraf adalah 56.2 peratus.
Sementara itu, sumbangan tenaga buruh yang berpendidikan tertiari meningkat kepada 38.2 peratus, berbanding 37.1 peratus pada tahun 2022.
Pertumbuhan ini mencerminkan pelaburan Malaysia dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran serta gGuna tenaga yang berilmu dan berkemahiran adalah kunci untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang berkembang pesat,” tambah Mohd Uzir.
Jumlah etnik bumiputera pada tahun 2024 seramai 21.6 juta atau 63.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk bukan bumiputera merangkumi 26.7 peratus dan bukan warganegara mewakili 10.0 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.
Menurutnya, pada 2023, etnik bumiputera mencatatkan 363,102 bilangan kelahiran hidup berbanding 344,281 kelahiran hidup
pada tahun sebelumnya.
Kadar kesuburan jumlah bagi seorang perempuan bumiputera meningkat kepada 2.1 pada 2023, berbanding 2.0 pada 2022,
menunjukkan tahap penggantian penduduk yang stabil.
Jangkaan hayat ketika lahir bagi lelaki bumiputera pada 2024 dicatatkan pada 72.0 tahun, manakala perempuan bumiputera pula hidup secara purata sehingga 76.9 tahun, menunjukkan peningkatan taraf hidup dan akses kepada penjagaan kesihatan.
Mengenai statistik siswazah pula, bilangan siswazah bumiputera yang direkodkan sehingga 2023 adalah seramai 3.7 juta orang (Lelaki: 1.6 juta; Perempuan: 2.1 juta) dengan kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) sebanyak 85.0 peratus.
KPTBS bumiputera lelaki pada 2023 meningkat kepada 89.2 peratus berbanding 88.5 peratus tahun sebelumnya sementara itu, KPTBS bagi perempuan menurun kepada 81.8 peratus (2022: 82.4%).
Melihat kepada aspek bilangan profesional bumiputera terpilih yang berdaftar dengan badan profesional sehingga tahun 2023, seramai 12,222 orang bumiputera direkodkan sebagai akauntan berdaftar, 10,057 orang peguam berdaftar, 7,880 orang doktor gigi berdaftar, 3,055 orang adalah juru ukur bahan berdaftar, 1,013 orang arkitek berdaftar dan 359 orang jurukur tanah berlesen.
Dari segi pertumbuhan tahunan, bilangan peguam berdaftar bumiputera, juru ukur tanah berlesen bumiputera dan doktor gigi berdaftar bumiputera mencatatkan peningkatan pertumbuhan dua digit masing-masing sebanyak 13.7 peratus, 12.2 peratus dan11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, dari segi sumbangan bilangan profesional bumiputera kepada setiap profesion berdaftar pada 2023 adalah akauntan berdaftar 31.2 peratus, peguam berdaftar 39.7 peratus, doktor gigi berdaftar 55.3 peratus, juruukur bahan berdaftar 62.3 peratus, arkitek berdaftar 41.2 peratus dan jurukur tanah berlesen 61.8 peratus.
Statistik hartanah menunjukkan bumiputera menyumbang 34.2 peratus daripada jumlah transaksi hartanah kediaman, dengan
nilai pindahmilik RM34.5 bilion daripada jumlah keseluruhan RM100.9 billion pada tahun 2023.
Dalam segmen hartanah komersial, transaksi bumiputera meningkat daripada RM2.1 bilion pada 2022 kepada RM2.3 bilion pada 2023, mencerminkan trend kenaikan yang stabil dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan dalam kalangan komuniti ini. – MalaysiaGazette