Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid di majlis meluncurkan Kempen Lestari Pendidikan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur merasmikan Foto AIZAT ZAINAL, 23 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Bagi memperkukuhkan mesej penting tentang tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelestarian dana pendidikan negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan kempen LESTARIPendidikan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif strategik itu dilaksanakan bagi memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, mampan dan relevan bagi generasi akan datang.

Norliza Abdul Rahim berucap pada majlis peluncuran Kempen Lestari Pendidikan di Tabung Pendidikan, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 DISEMBER 2024.

“Kempen ini mencerminkan komitmen PTPTN untuk menyokong visi kerajaan termasuk konsep Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan.

“Selari dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dasar Pendidikan Tinggi Negara, PTPTN terus berusaha memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang, mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi tanpa beban kewangan.

“Melalui LESTARIPendidikan, PTPTN bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosialnya tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara.

“Pendidikan tinggi adalah pemangkin pembangunan masyarakat yang progresif dan kelestarian dana pendidikan adalah kunci kepada kejayaan ini,” katanya ketika berucap meluncurkan Kempen Lestari Pendidikan di Menara PTPTN hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Kaunter PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

Tambah Norliza, kempen itu turut bertujuan memperkasakan rakyat melalui pendidikan tinggi disamping membantu peminjam menyelesaikan tanggungjawab membayar hutang PTPTN dengan lebih berkesan.

Jelasnya lagi, pendidikan tinggi ialah landasan untuk meningkatkan taraf hidup yang hanya dapat direalisasi jika dana pendidikan itu kekal mampan.

“Setiap pembayaran balik adalah pelaburan kepada masa depan pendidikan generasi akan datang. Dengan dana yang diterima melalui bayaran balik, PTPTN dapat terus menyokong 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Ini melibatkan jumlah yang besar iaitu lebih RM3 bilion setahun,” tambahnya.

Norliza Abdul Rahim berucap pada majlis peluncuran Kempen Lestari Pendidikan di Tabung Pendidikan, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 DISEMBER 2024.

Menurut Norliza, Kempen LESTARIPendidikan merangkumi inisiatif yang dirangka untuk meringankan beban peminjam iaitu #PTPTNBolehBincang.

#PTPTNBolehBincang memberi pulang kepada peminjam untuk berbincang atau berunding bagi mendapatkan pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

Melalui kempen yang sama, PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran bayaran balik yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Saluran tersebut disediakan untuk membantu dan memudahkan para peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan berkaitan bayaran balik pinjaman,” jelas beliau lagi.

Kempen LESTARIPendidikan berteraskan kepada empat elemen penting iaitu Transformasi, Aspirasi, Realisasi dan Inovasi.

“Transformasi untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan PTPTN dalam akses pendidikan tinggi, Aspirasi untuk menyokong pelajar mencapai impian pendidikan tertinggi, Realisasi bagi memastikan peluang pendidikan berterusan melalui pembayaran balik peminjam yang bertanggungjawab.

“Manakala Inovasi pula, dengan memperkenalkan aplikasi seperti myPTPTN dan myWaqafPTPTN untuk memudahkan urusan pembayaran dan pengurusan pinjaman,” katanya.

Gambar Hiasan Menara PTPTN

Kempen ini juga menyeru peminjam untuk melihat pembayaran balik bukan hanya sebagai tanggungjawab individu tetapi juga tanggungjawab sosial yang memastikan peluang pendidikan kekal tersedia untuk generasi akan datang. PTPTN menekankan bahawa kegagalan membayar balik bukan sahaja menjejaskan dana tetapi juga masa depan ribuan pelajar yang memerlukan.

Melalui sokongan masyarakat dan tindakan kolektif, kita dapat memastikan sistem pendidikan tinggi terus kukuh dan inklusif selaras dengan aspirasi negara

Untuk rekod, sehingga September 2024, tunggakan pinjaman PTPTN adalah berjumlah RM11.32 bilion melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here