KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyokong desakan Pemuda UMNO Sabah yang menggesa pihak pendakwaan menarik balik segala kes yang didakwa di mahkamah ketika era pentadbiran kedua Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, sepatutnya semua kes yang melibatkan ahli politik termasuk kes Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya selepas 2018 digugurkan termasuk kes-kes tertangguh lama tanpa perbicaraan.
Ia hanya membazir sumber kerajaan dan hanya bermotif untuk memalukan, membina persepsi dan menyusahkan yang tertuduh.
Lagipun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertuduhan tersebut dibuat secara tergesa gesa, dendam dan beracun.
“Perbicaraan kes Riza Aziz (anak tiri Najib) tidak pernah berjalan satu hari pun sejak dia didakwa. Sebab itu bila beberapa kes yang melibatkan Najib, Rosmah, Riza dan Zahid digugurkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidaklah terkejut seperti mana mereka terkejut beruk apabila Tommy Thomas membatalkan kes Lim Guan yang sedang dalam perbicaraan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Namun, kata Puad, keluarga Najib amat gentleman kerana tidak lari.
Katanya, Riza Aziz walaupun duduk luar negara tapi balik untuk menghadapi pertuduhan pada 14 Mei 2020.
“Culprit (dalang) sebenar seperti Jho Low yang masih bebas dan menantu yang lari juga masih bebas,” ujarnya.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim membuat desakan itu susulan kenyataan Anwar bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU 2018 adalah cacat memandangkan ia dibuat terburu-buru.
Katanya, pihak pendakwaan perlu segera menarik balik segala kes yang didakwa semasa pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 yang diterajui oleh Mahathir dan Bersatu.
“Pendakwaan ini jelas berlandaskan agenda politik, bukan prinsip keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pendakwaan tersebut dibuat dengan niat politik yang bersifat dendam dan bertujuan membunuh karakter individu tertentu serta parti-parti politik yang menjadi lawan mereka.
“Tindakan ini telah mencemarkan sistem keadilan negara. Kenyataan Anwar hari ini telah membuka mata seluruh rakyat yang mula melihat sistem keadilan negara tidak lagi bertindak adil dan lurus seperti lurusnya sebilah pedang.
“Dengan penarikan balik pendakwaan ini, Malaysia dapat memperbaiki imej keadilannya di peringkat antarabangsa.
“Langkah ini akan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan yang sebenar tanpa dipengaruhi oleh permainan politik sempit,” katanya. – MalaysiaGazette