BANGI – Jenazah lima sekeluarga yang maut di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat selamat tiba di Surau Al-Ikhlas, Bandar Baru Bangi jam 5.40 petang tadi.
Jenazah pertama yang dibawa masuk adalah Ramli Ab Wahab, 66 diikuti cucunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Seterusnya, jenazah isteri Ramli, Fauziah Jaafar dan pasangan suami isteri iaitu Khairul Ikhwan Mazupi dan isteri Fadzlenna Ramli.
Kesemua jenazah dibawa daripada Hospital Melaka selepas menjalani proses bedah siasat.
Solat jenazah diimamkan oleh Mohd Nazmi Mohd Yusof dari Surau Al-Ikhlas bersama lebih 500 orang jemaah.
Kemudiannya, kelima-lima jenazah dibawa ke Tapak Perkuburan Sungai Tangkas untuk dikebumikan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, lima sekeluarga ini menjadi antara tujuh yang terkorban dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, lori, treler, dan sebuah kereta Perodua Bezza.
Keluarga ini pula menaiki MPV jenis Toyota Estima.
Dua lagi anak Khairul dan Fadzlenna iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira masing-masing berusia tujuh dan empat tahun cedera dan dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka. – MalaysiaGazette