Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

KUALA LUMPUR – Hukuman penjara terhadap seorang lelaki kerana melakukan sumbang mahram dan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, dikurangkan oleh Mahkamah Tinggi, Ipoh, Perak daripada 99 tahun kepada 39 tahun.

Gadis berkenaan menjadi mangsa amang seksual sejak berusia 10 tahun dan berlarutan kepada perlakuan sumbang mahram ketika berusia 14 tahun.

Bapa tirinya turut mengugut untuk menyebarkan video perbuatan terkutuk itu kepada rakan-rakan (mangsa) selepas gadis tersebut mahu mendedahkan kejadian berkenaan kepada ibunya.

Bagaimanapun, lelaki tersebut tidak perlu meringkuk dalam penjara selama 99 tahun selepas Hakim Datuk Bhupindar Singh mengurangkannya sebanyak 60 tahun.

Mahkamah turut mengekalkan 24 sebatan maksimum terhadap lelaki itu selepas membenarkan rayuannya terhadap hukuman.

Dengan keputusan itu, lelaki berkenaan akan dibebaskan dari penjara ketika berusia 66 tahun.

Dalam penghakimannya, Hakim Bhupindar berkata, perayu yang berusia 40 tahun ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, akan dibebaskan pada usia 139 tahun jika selesai menjalani hukuman selama 99 tahun.

“Meskipun mendapat pengurangan satu per tiga daripada keseluruhan hukuman penjara, dia akan dibebaskan pada usia 106 tahun.

“Mustahil untuk hidup pada usia yang begitu lanjut kerana statistik rasmi kerajaan menunjukkan purata jangka hayat seorang lelaki Malaysia ialah 73 tahun,” katanya.

Hakim Bhupindar menyatakan demikian dalam penghakiman bertulis bertarikh 18 Disember lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Pada asalnya, lelaki itu didakwa atas 23 pertuduhan iaitu empat pertuduhan amang seksual fizikal dan 19 pertuduhan sumbang mahram dan dikenakan hukuman penjara 99 tahun.

Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun di sebuah rumah di Seberang Lahat, Perak pada waktu berlainan sejak Jun 2017.

Dia selanjutnya didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa sama ketika berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Seri Botani, Ipoh pada waktu-waktu berlainan di antara April 2021 dan Julai 2022.

Latar belakang kes menyatakan, bapa tirinya telah melakukan persetubuhan dengan mangsa sewaktu ibu gadis itu keluar bekerja.

Bapa tirinya juga pernah mengugut untuk memukul mangsa dan ibunya jika perkara itu didedahkan.

Mangsa yang tidak tahan selepas dipaksa melakukan persetubuhan beberapa kali, bertindak mengadu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here