Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi jaminan untuk terus menggunakan semua saluran bagi mendapatkan semula peruntukan dana kepada 55,000 orang pengundi berdaftar kawasan itu.

Syed Saddiq berkata, pendekatan tersebut dilakukan sama ada melalui diplomasi dengan kerajaan atau menerusi badan kehakiman agar kebajikan para pengundi Parlimen Muar, terbela.

Sehubungan itu, beliau akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan susulan kegagalannya mendapat kebenaran mencabar pemberhentian peruntukan dana RM730,300 untuk perbelanjaan kawasannya.

“Dari awal kami tahu sukar untuk mendapatkan peruntukan terutamanya untuk golongan kurang berkemampuan di Muar kerana dasar regresif kerajaan hari ini.

“Jika anda pembangkang, serta-merta peruntukan adalah sifar. Namun jika berada dalam kerajaan, anda mendapat RM4 juta,” ujar beliau kepada wakil media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Beliau memberi reaksi terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi di sini yang tidak membenarkannya serta tiga pengundi mencabar tindakan kerajaan memberhentikan peruntukan dana berjumlah RM730,300 untuk perbelanjaan penduduk kawasan itu.

Selain Syed Saddiq, tiga yang lain ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Najib Abu Nawar; imam surau, Mohd Bakirudin Abdullah serta pengerusi surau, Muhamad Fadzly Bisri selaku pemohon pertama hingga keempat.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan mereka untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati permohonan itu dibuat di luar masa yang dibenarkan oleh undang-undang.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jit yang mewakilinya berkata, rayuan tersebut bagi mendapatkan perintah Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam permohonan itu, Syed Saddiq dan tiga pengundi tersebut menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Syed Saddiq selanjutnya berkata, kerajaan tidak sepatutnya memberikan sokongan kebajikan berdasarkan warna sokongan politik.

Ujarnya, buat masa ini beliau mencari kutipan derma swasta contohnya dalam bentuk bakul makanan dan sumbangan terbesar melalui program `Larian Muar ke Parlimen’ yang berjaya mengumpul wang hampir RM200,000.

“Ia sukar namun saya akan meneroka cara lain untuk memastikan pembiayaan dana disalurkan kembali kepada  Parlimen Muar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here