GEORGE TOWN – Tiga eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan seorang peguambela menggunakan sebatang besi pada Oktober lalu.
Tertuduh, Koay Beng Ghee, Teh Eng Tat masing-masing 36 tahun dan Ng Weng Kooi, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan ketiga-tiga lelaki itu didakwa telah bersubahat bersama seorang lelaki Cina yang masih bebas melakukan satu kesalahan hingga menyebabkan kecederaan ke atas lelaki, Beh Hong Shein, 37, dengan menggunakan sebatang besi sebagai senjata.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Persiaran Karpal Singh, jam 9.50 pagi pada 22 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu masing-masing mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Kesekaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), M. Darrshini manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Md Yusuf Md Idris.
Ketika prosiding Darrshini menawarkan jaminan RM9,000 terhadap setiap tertuduh serta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati saksi dan mangsa sehingga kes selesai.
Manakala RSN Rayer selaku peguam pemerhati meminta mahkamah memberikan perhatian serius berkaitan kes ini kerana ia membabitkan seorang peguam dan serangan berlaku pada siang hari.
Selain itu, Rayer turut meminta mahkamah mempertimbangkan kes beberapa peguam telah mati dibunuh di negeri ini serta isu berkaitan peguam itu turut dibangkitkannya di Parlimen.
Bagaimanapun, Md Yusuf dalam mitigasi merayu kesemua anak guamnya diberikan jaminan anggaran RM3,000 yang mampu dibayar mereka atas alasan mereka merupakan eksekutif jualan dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain perlu menyara keluarga masing-masing.
“Berhubung dengan hujah peguam pemerhati saya mohon mahkamah tidak mengambil kira siapa mangsa dalam kes ini kerana mengikut perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuaan semua orang adalah sama rata disisi undang-undang selain anak guam saya masih belum dibuktikan bersalah dalam kes ini,” kata Md Yusuf.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang diminta DPP.
Sementara itu, di luar pekarangan mahkamah Rayer turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia khususnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad atas kejayaan menyelesaikan kes jenayah tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 26 Oktober lalu melaporkan polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam menggunakan besi dalam kejadian di Persiaran Karpal Singh 2 di sini.
Kejadian jam 9.50 pagi pada 22 Oktober itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala. – MalaysiaGazette