KUALA LUMPUR – Kumpulan KRU terus membuktikan mereka masih relevan apabila Konsert GENKRU hari kedua yang bakal berlangsung pada 4 Mei 2025 habis terjual dalam tempoh kurang satu jam.
Pihak penganjur iaitu Iman Tang yang juga pemilik Icon Entertainment sangat terharu dengan sambutan hangat daripada peminat selepas pembeliannya secara dalam talian dibuka pada pukul 3 petang semalam.
“Kami amat terharu dengan sambutan ini. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa satu jam manakala tiket hari kedua habis dalam durasi 45 minit.
“Ini semua merupakan tanda kasih sayang dan penghargaan peminat buat ikon trio negara kita.
Pada masa sama, Iman menjanjikan pengunjung yang hadir semasa Konsert GENKRU pada 3 dan 4 Mei tahun hadapan akan mendapat pengalaman berharga menyaksikan persembahan adik-beradik itu.
“Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GENKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua akan mendapatkan kepuasan maksima pada dua-dua hari konsert itu kelak, ” ujarnya.
Kali terakhir KRU mengadakan konsert adalah pada 2018 di Istana Budaya dan sepatutnya, konsert berkenaan menjadi yang terakhir dan sebelum trio itu mengumumkan persaraan. – MalaysiaGazette